إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

Sebelah Sayap


بسم الله الرحمن الرحيم




short and simple.

one word from me

*nanges*



"hang tak perlu belajar agama kalau nak lari dari masalah"



subuh yang dingin
jom mula study
dua lagi
-tabah-










~ I drop du'as. Not bombs ~


Final exam Final sem II






بسم الله الرحمن الرحيم


Satu lagi berlalu. Eh silap. Dua.
Dua subjek berlalu. Maka berbaki lagi 3.
Dua exams dan satu seminar paper.

Penat?

Senyum sahaja.

Experimental Psychology selamat sudah. Selamat dihantar sejurus selepas selesai exam dan urusan di AMAD pagi tadi. Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik. Doakan semoga lembut hati madam baca report experiment yang terakhir itu. Report terakhir itu merupakan markah untuk final saya dalam subjek ni. Mudah-mudahan lulus cemerlang dengan penuh bergaya *pinjam ayat Dilla dan Wani zaman dulu-dulu.haha*

Saya menyiapkan report Expe ni pada petang dan malam selepas exam Educational Psyc. Berhempas-pulas sehingga jam 2 pagi. Dan harapnya ia berbaloi sebab jam 2 pagi tu juga saya baru dinner. Oh sila bayangkan saya makan nasi ayam bersama sambal kerang yang pedas berlemak pada jam 2 pagi. Hujan pula renyai-renyai. Fuhh~ awesome! Sebab mungkin itu kali terakhir saya makan lewat malam macam tu di bilik yang super duper heaven ni. Oh sedih pula rasanya.

Untuk Experimental Psyc ni, terlalu mencabar perjalanan yang ditempuhi. Sejak awal sem sehingga ke akhir sem, memang susah nak cari participants. Untuk itu, saya ucapkan berkalung2 terima kasih kepada setiap individu yang sudi, yang baik hati, yang berkorban masa walau beberapa minit untuk experiments saya ini. Jazakumullahu khair.

Untuk yang datang dari jauh, dari KENMS, dari KAED, dari ENGINE, dari ICT, dari AIKOL dan juga dari IRKHS, terima kasih berbanyak-banyak. Untuk adik saya berkereta kuning yang sanggup datang selepas kelas, walau sejam lewat, yang sanggup berpartner dengan orang lain, yang jauh-jauh dari kelas dekat econs sana, terima kasih sangat-sangat. Terharu, tau. T___T

Untuk adik yang lagi sorang yang bermotor yang berusaha tolong saya dapatkan participants dari kalangan budak-budak Engineering, pun saya berterima kasih. Terharu juga sebab saya tak minta pun dia tolong tapi dia tiba-tiba call dan cakap nak tolong. Dan adik yang berkereta putih pun sama. Dia join sama dalam eksperiment ni. Double terharu. Dan rupanya mereka berdua ni berharap saya pergi reunion NLC sebab tu tolong ringankan beban saya sebab pada asalnya saya taknak pergi sebab busy dengan report yang berlambak-lambak. Heh.

dua orang adik engine saya.
yang setia buat experiment.
:)
semoga dapat jadi engineer yang beriman
dan beramal soleh
dan beristeri solehah.
haha


Untuk groupmates Expe, Rina dan Shamim yang banyak bersabar, yang banyak memberi tunjuk ajar, saya ucapkan jazakillah. Saya tak mampu nak balas jasa korang. Semoga kalian berdua cemerlang dalam Expe ni. Aameeen ya Allah. Ini pengalaman yang terbaik yang pernah saya rasa sepanjang buat eksperiment. Again, jazakillah wahai ukhti berdua :)) *shamim tu pelajar antarabangsa*

Dan kisah subjek yang exam tadi. Interviewing and Counseling Skills. Ini subjek optional. Saya ambil pun sebab dah tak ada pilihan lain tapi madam ni saya belajar ngan dia sejak first sem lagi. Dah empat subjek belajar dengan madam. Huhu.

Malam tadi, saya belajar subjek ni dengan Ruhiyah dan Ainin. Itu mungkin study group terakhir saya dengan mereka. Sebab dah tak ada subjek yang sama. Dua subjek lagi tak sama dah. Huhu. Sebenarnya, nak study subjek ni agak mencabar juga. Sebab subjek ni bukan theory tapi applied. Memang faham-faham lah kalau subjek applied ni macam mana bila exam. Huhu.

Pagi sebelum pergi exam, kak Farah mesej saya, "nusrah, macam biasa ye pergi exam :) "

Saya tersenyum. Selalu sahaja saya akan pergi exam dengan kak Farah bila ambil subjek dengan dia. Kalau tak sama subjek, memang saya akan pergi sorang. See! Lonely kan hidup saya ni. huhu~

Sewaktu berjalan nak pergi exam, saya cakap dekat kak Farah, "kak, ni kali terakhir kan kita pergi exam sesama"

Kak Farah gelak. Dan saya pun sama. Padahal dalam hati, saya menangis laju-laju. Sedih sangat sebenarnya.

Kak Farah ni sebaik-baik kakak yang saya ada kat UIA. Maklumlah, semua orang nak jadi adik saya. Jadi, kadang-kadang tak best juga sebab dengan adik-adik saya perlu bersifat matang. So dengan kak Farah ni la saya bermanja, saya ngada-ngada, saya kelam kabut, saya gelabah, saya menangis, saya ketawa, saya bercerita, saya berceloteh, saya marah-marah, saya main-main. Semua dia layan. Tak pernah pun dia tak peduli. Dan she is one of my spirit!

Pernah sekali, saya sedih, saya pergi bilik dia. Bercerita dan menangis sampai tertidur kat situ. Dan dia pula tidur kat lantai je. Bila bangun pagi, saya rasa sedih sangat tengok dia tidur kat lantai. Bukan sekali, banyak kali. Kalau nak tahu, kak Farah ni terlalu berjasa untuk saya. Terlalu banyak budi dia sampai saya rasa tak mampu nak sebut satu-satu kat sini. Dan dia ni sangat tabah orangnya. Berganda-ganda tabah dari saya. Bergunung-gunung kuat dari saya. Sungguh, dia terlalu baik!

Dia sanggup nak teman saya pergi selesaikan urusan dekat AMAD, pegi pejabat pos, pergi fotokopi, pergi buat eksperiment, pergi situ pergi sini. Semua kebudak-budakan saya dia layankan sahaja. Paling saya ingat, masa first year dulu, saya demam teruk. Dia buat sorang je assignment. Part saya pun dia back-up. Cakap dengan saya, mana nak cari kawan macam ni? sahabat macam ni? kakak macam ni? *mata berair dah* Dan lepas ni saya dah kena berdikari. Semua kena buat sendiri dah.


kak farah belanja saya after a week saya mengidam
dan sekarang dia suka sangat cakap;
"alaa lepas ni awak tu bukan ada kat sini dah pun"
nangis diam-diam


Dan saya masuk dalam hall exam dengan perasaan yang macam-macam.

Sedang jawab exam tadi, saya berhenti menulis pada waktu sejam sebelum masa tamat. Ketika itu saya surrender sebab saya terlalu penat jawab exam! Astaghfirullah, syaitan berjaya menggoda saya dalam tempoh lima minit itu. Segera saya beristighfar dan fokus pada exam. Mohon jangan contohi sikap saya tadi. Saya sendiri tak tahu kenapa perasaan tu boleh muncul pada ketika saya sedang menulis, pada ketika saya berada dalam final sem, pada ketika ianya sedikit sahaja lagi untuk selesai.

Hati-hati dengan syaitan sebab ia takkan putus untuk menggoda dan menghasut.

Dan exam tamat pada ketika saya kalut-kalut finalized everything. Saya sudah cuba semampu yang boleh. Saya sudah berusaha sekudrat yang ada. Dan saya sudah tulis sepenuh hati. Mudah-mudahan akan sampai pada hati madam dengan apa yang saya tulis tu. Aameeeeen.

Dengan ini, saya masih berbaki dua lagi exam dan satu lagi submission.
Sepertinya, saya rasa mahu hentikan masa seketika supaya ia tidak terus berlalu.
Saya rasa tidak sanggup pula untuk menutup tirai imtihan di uiam.

Namun, menjejak realiti, saya akur.

Mohon terus doakan saya lulus dengan cemerlang, semoga ada peningkatan dalam peperiksaan kali ni. Saya perlukan doa kalian. Saya cakap ini sungguh-sungguh.

Jom usaha untuk next exams.
Lagi tiga hari, semuanya berakhir.

Dan saya berdebar.












~ I drop du'as. Not bombs ~


Final exam Final sem


langit subuh tadi.
sebelum pergi exam.
subhanallah
:'')


بسم الله الرحمن الرحيم


Langit cerah. Awan lembut berarak.
Alhamdulillah.
Dua exams berlalu. Lusa pula untuk dua subjek lagi.
Sedikit coretan berkenaan exam pada hari-hari terakhir saya ini. Sungguh, lain benar rasanya.

Cross Cultural Psychology

Tidak dapat dinafikan, saya buat revision untuk subjek ni memang agak lewat sebab saya fokus pada final report Experimental Psychology. Entah kenapa, susah juga nak dapatkan mode exam pada kali ni. Mungkin perlu duduk dulu dalam hall untuk ambil sedikit getaran exam. Mungkin lah.

Saya tidak ada masalah ketika study subjek ni sebab semua nota lengkap dan tiada masalah nak faham topik-topik yang ada. Semuanya kelihatan smooth. Dengan izin Allah. Alhamdulillah :))

Jazakillahu khayran buat sahabat solehah saya dunia akhirat, Ruhiyah Sakinah sebab tolong fotostat notes untuk saya. Free pulak tu. Teimakasih sebab fotostat notes sejak midterm sampai sekarang. Kalau nak tahu, one of the reason yang buat saya semangat nak study CCP, adalah kerana awak, Ruhiyah. Tak mahu lah duit awak terbazir dengan usaha saya yang ala kadar. Jadi, saya berusaha optimumkan usaha semampu yang boleh. InshaAllah.

dia tulis;
from: ruhiyah sakinah comel
haha


Hari exam CCP tiba. Duduk dalam hall, saya tercari-cari di mana Ruhiyah, tapi saya tak nampak pun. Mungkin ada di belakang sebab seat saya kat depan. Sedang menunggu exam mula, tiba-tiba saya sebak! Ah, perasaan apakah yang melanda ini dengan tiba-tiba. Jujur, suasana dalam hall buat saya sayu. Memikirkan ini adalah detik-detik akhir exam, hampir sahaja airmata menitis. Saya tahankan hati dan berusaha fokus pada exam. Saya janji pada diri untuk buat yang terbaik.

Sedang khusyuk jawab exam, saya sakit perut. Saya selalu terlupa untuk jaga kesihatan dengan baik stiap kali exam dan saya terpaksa tahan sakit sampai saat masa tamat. Mahu menangis tapi kena tahan, kena fokus. Pengajaran untuk saya supaya jaga diri dengan baik lepas ni. Dan pada ketika saya menahan sakit, tiba-tiba saya teringat dekat Mon. Seperti bermimpi, saya rasa Mon sedang bercakap dengan saya. Huhu.

Dan tiba saat paper nak dipungut, sekali lagi, saya diserang rasa sebak sehinggakan saya berkata pada diri, "alahai nusrah,..ni baru first paper..kalau paper last nanti? mahunya setangki airmata keluar"

Dan saya pulang dari exam dengan perasaan yang sedih sebab saya tak jumpa pun Ruhiyah. Tapi sampai sahaja di bilik, ada mesej dari Mon (saya memang tak pernah bawa hp pergi exam). Dia buat saya gelak banyak kali juga dengan lawak dia. Hilang terus sakit saya. Mon mon...comel sangat!


Educational Psychology


coklat feveret
reward lepas khatam baca
ahaa~


Belajar subjek ni dalam keadaan yang agak stress. Mungkin sebab paper berderet. Jadi, rasa macam aih, susahnya nak hadam. Dupdapdupdap. Dan rezeki datang di malam hari. Saya dapat mesej pada waktu saya baru sahaja beli makanan untuk dinner. Dan hamba Allah yang mengajak saya makan pula terlewat sesaat dua.

Tepat jam 11 malam, saya dah mula hilang fokus. Rasa macam mahu makan macam-macam. Rasa lapar dengan tiba-tiba. Tapi saya cuba paksakan diri untuk satu lagi chapter (okay cara ini memang tidak wajar diikut). Suddenly, ada mesej masuk. Dari Ain Shamila. "kak nusrah, famy hantar makanan. kak nusrah blok mane? turun amek boleh?"

Erk. heh. pucuk di cita ulam mendatang atau kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan ataupun orang mengantuk di sorongkan bantal, orang lapar, diberi makanan? Aha~ banyak betul peribahasa yang menjelma. Ini memang betul-betul rezeki ketika lapar. Terharu pula saya. Dah menolak awal tadi tapi dihantar jugak makanan. Terima kasih banyak-banyak.


sedap.
sirius sedap.
:)))


Jazakillah Ain sebab sampaikan makanan. Jazakallah fahmy untuk makanan jauh dari rumah dan along Azwan dengan bekas tu. Huhu mujurlah along ngan Famy sebilik.

Dan tak lama kemudian, sahabat solehah saya, Lela hantar mesej mengucapkan all the best. Sepertinya dia tahu saya sedang stress yang banyak. Huhu

Dan untuk kamu kamu kamu kamu (semua orang), jazakumullahu khayran saya ucapkan di atas sokongan, semangat dan doa yang dihulurkan. Esok-esok, rajin rajin lah hantar makanan juga sebab saya masih ada paper berderet lagi dan saya memang makan banyak sepanjang minggu exam ni. hehe.

Petang ni kena siapkan report Experimental Psychology. Perlu siap sepenuhnya. Malam dah boleh study. Lusa exam. Doakan saya dan mereka ye :))

Pesan saya, tulis dengan hati, inshaAllah akan sampai pada hati yang menanda nanti :)





"...kalau nak rasa ketenangan sebenar insyaAllah cubalah utamakan maslahah dakwah.. Yang lain akan setel insyaAllah.
 ...kalau tak dapat seideal yang dia nak di dunia, nanti claim dengan Allah kat syurga insyaAllah."

-genggam kuat-kuat, pegang kemas-kemas. janji Allah itu pasti. :)




nota hati: dua hari sebelum exam bermula, saya dikejutkan dengan berita cikgu math saya meninggal dunia. sedih. speechless. so saya duduk diam-diam sebab takut menangis banyak. Al-Fatihah untuk cikgu yang mengajar saya ;''')








~ I drop du'as. Not bombs ~


Apabila kita jatuh kerana manusia, bangunlah kerana Allah





بسم الله الرحمن الرحيم


Ta'lim Wida': Bicara wanita berakhir semalam dengan suatu perasaan yang sukar untuk saya tuliskan. Melihatkan senyuman para akhawat yang saya kenali sejak awal semester di uiam membuatkan hati saya berasa sayu untuk meninggalkan mereka. Ketika slot perkongsian, duduk dalam bulatan gembira bersama dengan mereka yang bukan seusrah, masih terselit juga bahagia. Apalagi masing-masing melopong mendengarkan bahawa saya sudah berada di semester akhir dan lagi melopong bila tahu umur saya. Senyum sahaja. Adik-adik memang comel.

Sesaat dua, hati saya berdetik. Mungkin saya sudah terlalu tua untuk terus berada di sini. Mungkin apa yang sudah Allah tetapkan untuk saya ini adalah yang terbaik. Terbaik. InshaAllah.

Selesai makan-makan dalam bulatan gembira yang bahagia, seorang adik mendekati saya. Adik yang ketika saya memandangnya sudah merasa bahagia. Yang ketika mendengarkan namanya juga sudah cukup untuk buat saya tersenyum.

"kak Nusrah, perlu ke kita pegang jawatan tinggi-tinggi? Perlu ke kita menonjol di hadapan khalayak?"

"yam macam tanya dua soalan je tu..senyum. Macam ni la, kalau nak popular, tak semestinya kena pegang jawatan tinggi-tinggi, besar-besar. Nak menyumbang pun, bukan lah perlu berjawatan hebat. Kecilkan skop, kat dalam ni sendiri pun, ada sahaja yang pegang jawatan tu bukan orang yang selayaknya. Ramai lagi yang layak. Namun, mereka menggunakan kelayakan mereka dalam cara yang lain. kak Nusrah pun bukanlah src, bukan mrc, bukan juga kbs tapi ramai sahaja yang kenal walaupun sekadar join program dan berjawatan kecil.. Jangan pernah rasa benda kecil tu tak menyumbang apa-apa pun, dik."

Dan kadang-kadang, sekecil-kecil perbuatan tu sangat besar pahalanya bila disertai dengan ikhlas.

"kak Nusrah tak tahulah menjawab ke tak soalan Yam tu. Macam tak jawab je kan.."

"eh menjawab..menjawab...ada satu lagi soalan"

"apa dia?"

"macam mana kak Nusrah study sampai dapat Dean's List?"

"haha..Yam pun pandai kan..mintak tips ngan akak pulak.."

"ala...sekali tu je..cepatlah kak..."

Kerana berkejar dengan masa, saya sempat bercerita sedikit sahaja dengan Maryam semalam. Jadi, saya sambung di sini. Cerita yang saya simpan, saya jadikan pedoman. Saya jadikan pengajaran. Dan saya juga berharap sesiapa yang pernah tahu cerita ni, yang pernah saya kongsikan, dapat mengambil ibrah dari sudut mana sekalipun.

Cerita Fatimah pada awal semester ini betul-betul menyentuh hati saya. Fatimah dengan senyumnya, dengan tangisnya, dengan semangatnya yang saya rasa dia sudah mengumpul beribu kekuatan sebelum dia datang dan duduk bercerita dengan saya.

Suasana sunyi sepi. Rintik hujan langsung tidak menjentik riak muka Fatimah ketika itu.

"nusrah, saya ada suka orang. sejak semester pertama saya di sini"

Diam.

"dan ramai orang kata dia pun suka saya juga walaupun saya tak tahu dia suka saya ke tidak"

"Dia masih belajar kat sini ke?"

"tak..dia dah tamat belajar two years ago...dan saya pulun study banyak-banyak, nak habiskan 3 tahun pun sebab dia. Sebab saya nak kejar dia, dah habis boleh kahwin dengan dia..walaupun saya tak tahu dia suka saya ke tak, tapi dia selalu bagi harapan kat saya.."

"harapan yang macam mana?"

"dia pernah cakap nak masuk meminang..kadang-kadang saya tak tahu dia bergurau atau bercakap benar, tapi sanggup ke muslimin macam dia nak tipu saya? gurau-gurau benda macam tu?"

Kaku sekejap.

"Sehinggalah pada akhir semester lepas, sedang saya khusyuk study untuk subjek terakhir saya, ada kawan mesej saya.."

Ketika itu, dia menggenggam erat tangan saya. Menahan rasa hati, barangkali.

"kawan saya cakap, muslimin tu nak kawen dah....belum pun sempat sedih menjengah, airmata saya dah tak boleh nak tahan..."

Allahu Allah~ Dan saya masih membiarkan dia bercerita lagi.

"masa tu kan, saya tak tahu macam mana nak buat..dengan exam lagi, dengan perasaan sedih lagi, saya rasa teruk sangat saat tu..tapi memikirkan itu adalah masa hadapan saya, saya lawan rasa sedih tu..saya belajar-belajar-belajar dan belajar, saya tajdid niat kembali, semuanya lillahitaala...sampai lah saya dapat jawab exam dengan baik..dan menangis lepas habis semua tu..."

"tapi dapat DL kan sem lepas?"

"ha'ah.. dan saya rasa Allah nak ajar saya sikit kut. mungkin selama ni saya belajar sebab dia, bukan kerana-Nya. Dan bila kita letakkan sesuatu semuanya kerana Allah, Allah akan tolong, akan bantu.."

"fatimah memang budak pandai kan..jadi apa plan sekarang?"

"sebelum ni, kalau saya study hard macam mana sekali pun, dapat result sekadarnya sahaja..tapi, kuasa Allah, ketika kita belajar kerana-Nya, memang Dia akan beri apa yang kita minta selama ni..Dan plan saya sekarang, saya rasa saya kena teruskan juga sem akhir ni..walaupun saya menyesal buat 3 tahun sebab dia, tapi saya yakin ada hikmahnya..mungkin saya tak nampak sekarang,,tapi suatu hari nanti, inshaAllah.."

sebak. saya tengok mata dia berkaca.

"habis belajar nanti, saya memang perlu keluar dari sini..mungkin perlu sedikit masa untuk lupakan apa yang dah jadi..nak jadi kuat bukan senang..nak belajar senyum semula pun payah..."

saya tarik dia dan memeluknya erat. saya bisikkan secebis kekuatan dan doa untuk dia. apalah sangat sebak dalam hati saya kalau nak dibandingkan dengan apa yang dia rasa. Mungkin dia ada silapnya dalam perjalanan hidup dia, tapi dia belajar dengan setiap yang dia lalui.

seketika kemudian, dia menggenggam erat tangan saya dan berkata;

"nusrah, jangan jadi macam saya.."

Dan saya ingat kata-kata ini sampai sekarang. Fatimah adalah seorang yang sentiasa meletakkan sabar dalam hati. Walaupun terpijak duri dunia sekalipun, sabar itu lah yang menjadi kunci dalam kekuatannya. Saya bukan dia dan dia bukan saya tapi bila-bila masa sahaja watak kita boleh terbalik, bukan?

Menyedut ibrah cerita Fatimah tadi, banyak sebenarnya yang boleh kita belajar. Terlalu banyak. Selain dari sudut pandang Fatimah, mungkin kita juga perlu berhati-hati ketika nak sampaikan berita pada kawan-kawan. Lebih-lebih lagi bila masing-masing dalam fatrah imtihan.

Atau mungkin juga kaum adam di luar sana perlu belajar sesuatu dari ini.

Oh ye. Saya menulis blog ni, adalah untuk semangat pada diri saya juga. Menyedut nikmat terakhir di bumi uiam ini terasa lain benar cuacanya. Sekejap sahabat buat kejutan, sekejap sahabat buat terharu. Susah juga. Sampai rasa, alahai tak mahu grad ;'')




Dan semoga semua sahabat dapat menjawab soalan exam dengan baik. Dapat fokus dalam study dan dapat result yang baik. Aameeen.

Senyum banyak-banyak. Saya akan merindui setiap kenangan di uiam ni. Dan saya akan merindui kalian semua. Jom study! =))










~ I drop du'as. Not bombs ~





Konvensyen Graduan Ahli'13




Macam biasa. Susah nak fokus. Nak ambil mood nak mula study ni memang payah la. Payah yang banyak. Bukan sikit. Hurm setiap sem macam ni. Hailaa~

Masih berbaki satu report nak kena siapkan. Setel report, boleh la fokus study pula. Dan esok merupakan hari untuk submit gambar Photography Skills 2. Berdebarnya hati saya. Saya sudah hampir ke puncaknya. Takutnya rasa. ;'''')

Sedikit perkongsian pada minggu lalu ketika diri masih lagi demam. Dengan keadaan diri yang tidak berapa nak strong, terlewat pula tu, saya pergi juga ke Konvensyen Graduan Ahli'13 (KGA'13). Terima kasih dekat PA saya sebab hantar sampai dalam hall =D Saya sampai di tempat kejadian pada pukul 10 lebih. Hurm tak berapa pasti lebihnya tu berapa. hee

Dari slot pertama, sehinggalah slot yang terakhir, saya sebenarnya rasa macam agak tersentuh juga dengan macam-macam pesanan, nasihat, serta kata-kata yag diungkapkan. Masa tu terasa macam oh beratnya tanggungjawab kat luar sana. Jadi, otak saya pun mula rasa berat juga ketika itu. Apatah lagi terkejut melihat adik saya dalam tu. Haih~

Okay, ini hasil resolusi pada KGA'13;

  1. Tarbiyah: Perlu mengikuti usrah dan tarbawi yang berterusan.
  2. Dakwah: Terus giat melakukan usaha amar maruf nahi mungkar.
  3. Komuniti: Berbakti kepada masyarakat termasuk mereka yang bukan Islam.
  4. Baitulmuslim: Memastikan penglibatan dalam menjayakan baitul muslim.
  5. Cakna: Peka dengan isu semasa yang berlaku di sekeliling
  6. Kepakaran: Menguasai ilmu yang perlu dan secukupnya berkaitan dengan kerjaya yang dipilih.
  7. Jaringan: Tidak terputus ukhuwah sesama ahli dan juga junior di UIA
  8. Kewangan: Berusaha untuk mempunyai kewangan yang stabil dan mampu menyumbang pada Islam.

Jadi, dalam banyak-banyak perkara di atas, saya rasa susah untuk buat perkara number 4. >__< Mujur lah tak ada time frame. Sebenarnya part lain tu pun bukan lah senang mana tapi saya melihat perkara number 4 lebih susah sebab nya ia bukan melibatkan diri saya seorang sahaja. Banyak pihak akan terlibat sama. Malah, bila cermin diri sendiri, rasa macam hurm...





Kata-kata pakcik Roslan yang menarik hati saya;

"bila kita ada tanggungjawab, we will take life seriously"

"master is about the application of theory. kalau nak jadi academician, buat master. kalau nak jadi professional, then go and work"


Duduk diam-diam.
Tarik nafas dalam-dalam. 
Terlalu banyak perlu memperbaiki diri.
Terutamanya rohani.

Mata masuk habuk pula. Ohh~










~ I drop du'as. Not bombs ~



Minggu terakhir sebelum grad




Alhamdulillah.
Semuanya dari Dia. Dari Allah. Yang memiliki segala di bumi dan di langit.

Selepas post terakhir saya di blog, saya jatuh demam. Dan semakin pulih pada hari Isnin lepas walaupun sekarang masih bersisa batuk-batuk. Syukur dengan semuanya. Sakit, tanda Allah sayang juga. Chill :)

Minggu terakhir. Kelas terakhir. Serasa seperti mimpi.

*setiap kali habis kelas, menangis dalam hati*

Saya tak tahu bagaimana nak bercerita dan berkongsi rasa tentang apa yang saya rasa sekarang. Tak tahu bagaimana nak ekspresikan rasa yang tersimpan. Mungkin. Terlalu banyak benda nak fokus sampai rasa macam-macam.

Beberapa hari saya stress. Sampai terzahir pada wajah. Kata kawan saya, "takut nak tegur nusrah..muka lain macam sangat.." Sedih saya dengar kata-kata kawan saya. Sedih kerana saya tidak mampu memaniskan wajah pada sahabat. Sedih kerana saya tidak mampu kawal stress dengan baik.

Namun, terima kasih buat dua orang sahabat pada hari ini kerana membuatkan saya tersenyum ketika saya sendiri sudah lupa bagaimana caranya untuk senyum. =))

Masih berbaki bebarapa tugasan dan masih berbaki satu kelas sahaja lagi. Semoga hati masih tabah dan kuat dan cekal. :)










~ I drop du'as. Not bombs ~


We did it! :)

malas nak rotate
haha,
lepas habes berlakon ni
:)



Alhamdulillah.

I did it!

Lega sungguh. Banyak-banyak lega. :)

Jam 4.30 pagi berjaya siapkan video untuk kelas petang nanti. Rasanya video ni kali ke-11 saved and edit. Syukur banyak-banyak ya Allah. :)

thanks to all my groupmates. We did it! =)

Semoga Allah permudahkan urusan kita pada petang nanti. Aameeeen.

Mudah-mudahan inshaAllah :)












~ I drop du'as. Not bombs ~


Hari-hari terakhir sebelum grad


mungkin kerana terlalu banyak simpan diam
simpan sorang
simpan jaga
kongsi rasa
dengan Pemilik Hati
:)



Hari ini. Tiada sejarah yang luar biasa untuk disampaikan. Tiada cerita yang baru untuk di khabarkan. Cuma sebuah kenangan yang teselit dalam lipatan rutin harian di hari-hari terakhir di sini. Tak tahu nak senyum atau bersedih. Banyak perkara yang macam buat diri ini terdiam terkaku. Tiada tahu bagaimana nak bereaksi. Senyum lagi dalam hati. Supaya jadi penawar diri.

Perjalanan hari ini. Pagi hari sebelum ke kelas, menyiapkan video yang saya render sejak malam tadi. Kemudiannya bergegas ke kelas. Duduk dalam kelas, terasa seperti lain macam. Tapi saya tak tahu itu perasaan apa. Belum pernah saya rasa macam tu. Tak lama kemudian, madam bagi midterm paper. Terkaku seketika. Betulkah ini markah saya?

Diam.

Lama.

Istighfar dalam hati. Berkali-kali. Ya Allah, lindungilah aku dari sebarang dukacita yang tidak semena-mena. Diam-diam hati berdoa.

Sahabat-sahabat di sebelah kanan saya, kelihatan ceria dengan markah yang diterima. Sempat menjeling pada kertas jawapannya, saya mengucapkan tahniah di dalam hati. I'm proud of her. Sahabat-sahabat di sebelah kiri pula kelihatan murung. Saya cuba mengukir senyuman pada dia. Sedangkan saya sendiri tidak tahu perasaan saya pada ketika itu.

Entah.

Saya tidak tahu mahu bergembira atau mahu menangis. Atau mungkin kerana kerja-kerja yang masih bertimbun membuatkan saya tidak sempat langsung untuk melayan perasaan sedih. Dan hari ini, saya belajar satu perkara lagi. Pertama, mungkin di kala kita gembira, kita juga perlu sedar dengan rakan-rakan sekeliling. Kerana bimbang di sebalik tawa kita, ada yang diam-diam sedang menangis kecewa. Dan mungkin ada yang ketika itu perlukan semangat dari kita di saat dia di rundung rasa lemah dan dukacita.

Kata kawan saya; "Nusrah, you perlu bodek madam"

"itu yang nusrah tak reti"

"but you should do it"

"masalahnya nusrah memang tak tahu bodek orang, apatah lagi lecturer"

"you kena buat baik dengan madam dan buat madam tahu you"

Hurm. Saya diam. Tak tahu dah nak jawab macam mana. Madam bukan tak kenal saya. Tapi saya sejujurnya memang tak reti bodek orang. Maka, bagaimana lagi harus saya lakukan? Dapat markah tinggi sebab bodek madam? Sungguh, saya tak reti. Sedangkan saya punya dua minggu sahaja lagi. Dan diam-diam hati saya berkata, "nusrah, just be yourself!"

Petang hari bersambung dengan kelas dan discussion. Sesungguhnya terasa sangat penat hari ini. Tapi mohon hati sabar sebab saya tahu, ini mungkin bernilai di mata Allah. Ya Allah, kurniakanlah daku kesabaran dan ketabahan. Aaameeen.

Malamnya pula, sebelum pergi meeting, sedang duduk makan-makan, ada seorang teman bertanyakan saya tentang mushrif saya. Dan tidak saya sangka, dia tinggalkan secebis nasihat yang berguna. Mungkin. Kata-kata dia, membuatkan hati saya diam kaku. Terasa seperti nafas berhenti dan jantung berehat sebentar. Perlahan-lahan menghadam kata-katanya, akhirnya saya akur. Dengan sebuah senyuman, saya mengucapkan terima kasih pada dia.

Lepas ni, saya tak boleh balik dengan mushrif saya dah. Tak boleh.

I'm pretty sure that my mushrif doesn't read this. Kalau dia baca pun, saya rasa...mungkin tiada kesan langsung kot kat dia. Kot lah. Entah.

Kemudiannya, saya pergi meeting. Setengah jam menanti, barulah anak-anak PC Taaruf Week ni muncul. Itu pun cuma beberapa orang. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi sejak maghrib lagi. Setelah berbincang itu ini dengan mereka, maka terhasil lah Reunion versi Potluck. Mohon ampun maaf buat sesiapa yang tak berkenan atau rasa menyusahkan. Kami di pihak PC sendiri sudah cuba memberi yang terbaik. Semoga semuanya dalam redha hati kalian. Aaameeeen.

Dan tadi, saya balik dalam hujan. Berseorangan. Mungkin itu kali terakhir untuk saya bermain hujan yang agak lebat. Indah. Mungkin mushrif saya pun tidak perlu untuk risau kerana ada Allah menjaga saya dan bila saya keluar UIA nanti, saya juga perlu berdikari.

Sampai di bilik, saya berasa lelah. Rasa seperti, ya Allah malam ni pasti tak tidur sebab perlu finalized video lagi sekali. Mohon hati kuat dan tabah. Perlu. Ini perlu.

Saya menulis ini cumalah sebagai kenangan saya di masa hadapan. Mungkin suatu hari nanti, coretan ini akan menjadi penguat semangat saya. Mungkin juga tidak. Tapi, coretan hari-hari terakhir sebelum grad ni tetap akan bersemadi walau mungkin ada yang pahit dan ada yang masam. Tetapi saya percaya, pastinya terselit kisah-kisah indah dan bahagia. InshaAllah :)

Saya berani jamin, malam ni, airmata saya akan menitis. Mungkin diam-diam sebelum tidur atau mungkin dua tiga saat lagi.

Senyum.

Doakanlah saya kuat.

Kerana untuk menjadi kuat di hadapan manusia, diri akan menjadi lemah ketika bersendirian.

Hati, redha lah dengan segalanya.










~ I drop du'as. Not bombs ~


kerja sekolah

kerja.
tika di rumah.
video yang...
3-4 malam berjaga.
huhu.
ini
pengalaman yang i.n.d.a.h :)


Saya sedang menyiapkan kerja.
Entah kenapa, debarannya terasa semacam.
Mungkin kerana saya sedar bahawa saya sudah tidak punya masa.
Masa untuk apa?

Untuk macam-macam perkara. huhu.

semoga semuanya tidak sia-sia. semoga ia nya bernilai di mata Allah. walaupun mungkin tidak di mata manusia. huhu. esok last kelas skill. saya belum punya gambar cantek untuk dihantar kepada cikgu. bagaimana ye? *garu kepala banyak kali*

cikgu mintak 3 keping je. tapi saya tak tahu nak hantar gambar mana. alahai. huhu

esok

perlu

finalize

everything

______________________________________


may Allah ease :)












~ I drop du'as. Not bombs ~


masa yang berbaki, sebelum grad




Saya baru sahaja sedar bahawa masa saya dah tak banyak. Saya dah tak punya masa yang lama untuk itu ini. Jadi, mungkin di sini saya bisa untuk mencoretkan sesuatu. Sebuah kenangan. Mungkin. Untuk bacaan sahabat dan sesiapa sahaja yang tak jemu membaca blog ini saban hari. Terima kasih banyak-banyak.

Sebenarnya hari ni, saya banyak menghabiskan masa dengan berfikir macam-macam. Berfikir itu, berfikir ini.  Yang khususnya, saya fikirkan masa depan saya. Yang pelbagai. Mungkin dalam banyak perkara, saya tidak suka untuk berkongsi.

Duduk diam, fikir dalam-dalam. Saya tahu, saya ada perancangan. Saya ada pilihan cuma terkadang, saya tidak tahu apa betulkah pilihan saya itu, betulkah jalan yang saya pilih ini. Betulkah tindakan yang akan saya lakukan ini.

"nusrah, kalau tak tahu nak buat apa lepas ni, istikharah  lah"

Terkesan. Pesan sahabat saya itu buat saya berfikir lama. Bimbang jika diri tersilap menafsir petunjuk dari-Nya. Bimbang jika diri tersilap dalam mengambil langkah untuk masa hadapan.

"nusrah, nanti lepas ni sambung la belajar kat UIA lagi. takpun kerja kat UIA."

Saya senyum. Geleng kepala. Tidak. Rasanya saya tidak akan meneruskan 'masa hadapan' saya di sini, iaitu di UIA. Sebabnya, saya mahu merasa berada dalam zon yang macam-macam. Kat sini, saya duduk dalam zon yang selamat. Yang selesa. Maka, bagi saya adalah lebih baik untuk saya keluar dari zon selesa. Percaya pada diri, percaya pada yang memegang hati. Masih ada yang memerlukan kita di luar sana.

Dua minggu yang berbaki buat saya tak keruan.
Dua minggu yang berbaki buat saya bimbang.

Dua minggu. Sudah tidak lama. Bersediakah hati untuk segala yang bakal terjadi? Untuk segala yang mungkin tidak terjangkau oleh akal fikiran? Bersediakah?

Teringat pesan seorang sahabat sebelum dia mendirikan rumah tangga. Katanya;

 "waktu last sem ni, kalau ada orang approach, try la fikir habes-habes. dah kerja nanti susah dah nak cari calon".

Terfikir. Saya perlu terkesan dengan kata-katanya atau tidak? Terfikir lagi, jika benar susah nak cari calon lepas habis belajar, maka cukupkah masa dua minggu yang berbaki ini? Terfikir lagi, mudah benarkah untuk menerima seseorang dan manjadikannya sebagai suami pilihan dunia akhirat kita?

Perkara-perkara ini terlalu dewasa bagi saya. Dan kesibukan menyiapkan tugasan juga membuatkan saya lupa untuk memikirkan diri sendiri. Mungkin belum tiba masanya. Walaupun terkadang terganggu jua melihat kawan-kawan semakin lama semakin ligat mengundang diri ke walimah. Apatah lagi berduyun-duyun yang sudah memiliki anak. Lebih tepat lagi, anak-anak. Mungkin suatu masa nanti, ketika diri ini bakal mendirikan rumah tangga, anak-anak mereka sudah lincah berjalan dan berlari. :)

Jalan hidup setiap manusia itu tidak serupa. Berbeza-beza. Semuanya adalah dalam aturan-Nya. Saya yakin dengan yang di atas sana. Saya tahu bahawa Dia sedang menjaga saya dengan baik. Saya tahu dan sedar itu. Boleh jadi, esok lusa saya berkahwin. Boleh jadi juga, Allah ambil nyawa saya dulu. Segala-galanya mungkin. Jadi, persiapkan diri dan kejarlah cinta Allah. Dekatkan diri kepada-Nya. :)

cinta manusia tu, nanti-nanti pun takpe :))

Untuk masa yang masih berbaki, saya mahu menikmatinya bersama sahabat-sahabat yang saya kasihi. Bimbang suatu masa nanti, saya sudah tidak punya masa dengan mereka.

Semoga diri terus tabah meneruskan sisa-sisa masa di sini. Semoga terus kuat untuk meyiapkan esaimen yang masih berbaki. Dan semoga Allah tetap dalam hati setiap masa dan ketika.

Have faith.

Allah ada bersama.

:)











~ I drop du'as. Not bombs ~


terkadang, sebelum grad




Diam tak diam, dah masuk bulan Mei. Tak lama sahaja lagi, tamatlah pengajian saya kat UIA ni. InsyaAllah :) Sekejap kan masa berlalu. Pantas sangat. Tinggal dalam dua minggu sahaja lagi. Macam-macam perasaan menjengah diri.

Gembira... suka... takut... bimbang.. berdebar... sedih... excited pun ye jugak. hehe

Tapi sebenarnya, yang lebih menguasai diri adalah perasaan berdebar. Debaran yang menggunung. Setiap kali pergi ke kelas, saya rasa nervous. Jantung berdegup pantas. Mungkin kerana macam-macam perkara bermain dalam fikiran. Hari-hari, bila jumpa orang, orang akan tanya saya lepas ni nak buat apa. Dan jawapan saya selalu sahaja sama. Atau terkadang saya sebenarnya tiada jawapan. Senyum.

Sesi usrah minggu lepas. Oh bukan. Dua minggu yang lepas. Kami bermain satu game. Simple tapi mengetuk hati saya. Kami perlu melukis satu bentuk lencana. Kemudian lencana tersebut perlu dibahagikan kepada empat bahagian. Kotak pertama, kena lukis perasaan ketika itu. Kotak kedua, kena lukis apa yang kita akan buat bila sedih. Kotak ketiga, kena tulis impian kita atau perkara yang kita nak buat lepas habis belajar. Dan kotak keempat, apa priority kita.

Mungkin. Nampak biasa. Tapi dalam banyak-banyak kotak, kotak ketiga adalah yang paling susah untuk saya tulis. Mungkin kerana banyak perkara yang saya rancang tetapi tidak menjadi. Jadi, terkadang bila memikirkan masa hadapan, saya sendiri kaku.


satu. Saya nak tulis surat dekat orang-orang yang rapat dengan saya.

dua. Saya nak jumpa dengan mereka-mereka buat kali terakhir.

tiga. Saya nak bagi hadiah buat mereka semua. hadiah dah ada. cuma tunggu masa sahaja.

empat. Saya nak minta maaf dekat semua yang kenal saya.

lima. Saya nak ucap terima kasih dekat mereka yang banyak bantu saya.

enam. Saya nak coretkan penghargaan kepada mereka yang jaga saya dengan baik.

tujuh. Saya nak senyum lebar-lebar dekat mereka yang membahagiakan saya.

lapan. Saya nak tengok lama-lama mereka semua, supaya saya tak lupa dekat mereka.

sembilan. Saya mohon Allah jagakan selalu mereka semua untuk saya.

sepuluh. Saya harap, Allah redha dengan persahabatan kami.


Banyak kan perkara yang saya nak buat. nak cakap. nak bagitahu dekat mereka-mereka. Tapi saya tak tahu sempat atau tidak. Malah, mungkin umur tidak berapa panjang. Mungkin Allah akan ambil nyawa pada bila-bila masa. Macam-macam boleh jadi.

Saya kalau boleh mahu menikmati semester ini dengan sungguh-sungguh. Mahu merasai kehidupan pelajar dengan rasa bahagia. Mahu tersenyum setiap masa, kalau boleh.

kadang-kadang, saya tak tahu macam mana caranya membawa hati.
kadang-kadang, saya keliru bagaimana rasanya menjadi dewasa.

kadang-kadang. terkadang.











~ I drop du'as. Not bombs ~



tulis pada hati




Ada sesuatu.
Tidak mampu dikhabarkan.
Mahu berkongsi.
Namun tidak sesuai.

Tiada mampu untuk khabarkan di facebook
Tak boleh juga tulis kat twitter
Juga tidak bisa bercerita di blog

Maka saya terfikir, di mana lagi harus saya tulis dan khabarkan?

Saya tulis pada hati
Kerana saya tahu ada yang mendengar


Hari ini saya tertanya-tanya, kenapa saya selalu kalah?
Kalah sebelum bertanding
Kalah pada kebanyakan orang
Kalah pada dia dan dia
Dan terkadang, hati menangis sendiri
Saya juga tidak tahu kenapa


Allah, saya mohon hati yang kuat
supaya tabah melalui ini
Bukan mudah
tapi saya yakin Allah ada bersama

Mungkin saya perlu rehat. Atau mungkin hati saya perlu rehat.



"bangkitlah hati
bangkitlah jiwa
menggagah cuma
ke pelukan Tuhan"





nota hati: entah kenapa.hari ni saya rasa macam mahu menangis. sedih yang tiba-tiba, tiada punca













~ I drop du'as. Not bombs ~


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...