إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

Nota Hati Nur

 
 Semalam ada yang menyapa
bertanyakan cerita lama
antara dia dan dia

Jiwa gusar lagi
terasa meruntun hati
antara dia dan dia

Hati diam menangis menghadap Ilahi
minta jalan dipermudahkan
agar dia dan dia berlalu pergi

Itu cerita semalam
hari ini tersenyum riang
kerana dia masih lagi dia

Andainya hati perlu jujur
biarlah antara diri dan Dia
bukan mereka-mereka yang suka berkata-kata

Pemilik hati,
jadikan daku seorang isteri seperti Siti Khadijah
andainya takdirku bersendirian
izinkan diri melangkah sperti Rabiatul Adawiyah

Tulus hati memohon dengan Nya
kerana jiwa selalu saja goyah
mohon iman diteguhkan
agar hidup dibawah rahmat Nya

Iman jangan lari
Amal biar berterusan
Hidup bakal terhenti
Mati dalam kemanisan

(Nur Jihad, 30112011) :)

10 penilaian ketika dilamar atau dilamar



” Saya dikenalkan dengan seorang ‘akh’ ini oleh orang tengah. Kami diberi masa untuk saling berta’aruf. Cuma saya tidak tahu apa ciri-ciri yang perlu saya tahu atau tanyakan tentang dia..”


” Ikutkan memang sudah berkenan, tapi mahu mengenali lebih dalam. Apa sepatutnya yang perlu diketahui sebelum berkahwin? ”


” Dalam tempoh dikhitbahkan ( ditunangkan ) ini sebenarnya apa yang perlu kami tahu tentang diri masing-masing? “


Banyak lagi soalan lain. Semuanya berkisar tentang topik yang sama. Sebelum nak hidup bersama, mahu kenal mengenal terlebih dahulu. Bahkan Islam pun sarankan begitu. Tetapi menjadi masalahnya apabila tidak tahu apa yang patut ditanya atau diketahui, walaupun dalam masa yang sama ada juga yang terlebih tanya dan terlebih tahu.


Jadi kali ini, saya kongsikan beberapa perkara yang perlu dijadikan penilaian samada ketika anda dilamar ataupun sewaktu menerima lamaran.


Pertama : Kehidupan Beragama


Dalam hadith Nabi s.a.w sebut ; pilihlah dalam hal agama. Agama sudah tentulah Islam. Tetapi yang dimaksudkan adalah nilai beragama pada seseorang individu tersebut. Bagaimana komitmen dia dengan amalan wajib dan amalan sunat. Gemar solat di masjid atau di rumah. Begitu juga dengan puasa sunat, bersedekah, bermuamalah dengan masyarakat, melazimi kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Bahkan kehidupan beragama ini konteksnya luas, mungkin meliputi perkara-perkara lain yang akan saya sebutkan nanti. Kerana itu, Nabi s.a.w meng highlight kan perkara tersebut.


Kedua : Sahsiah, Akhlak dan Personaliti


Dia orang yang bagaimana. Ini cukup penting. Peribadi luaran kadang kala jauh berbeza dengan dalaman. Ada orang dinilai sebagai garang secara luarannya, walhal dia seorang yang cukup lembut dan bertolak ansur. Begitu juga sebaliknya. Apa yang mencorakkan kesemua ini sudah tentulah agama dalam diri orang tersebut. Maka bab akhlak dan sahsiah perlu dititikberatkan. Perlu diketahui sifat, sikap dan watak orang tersebut. Mungkin dia seorang yang egoistik, sukar berlapang dada atau terlalu lembut sehingga tiada langsung nilai ketegasan padanya. Begitu juga dengan personaliti. Dia seorang yang kemas, selekeh atau biasa-biasa sahaja. Dia seorang yang mengambil berat tentang penjagaan masa atau sekadar sambil lewa. Dia seorang yang suka menolong orang atau mementingkan diri sendiri. Begitulah seterusnya.


Ketiga : Kepimpinan dan Kematangan


Lebih-lebih lagi kalau anda wanita. Bab kepimpinan pada seorang lelaki sangatlah penting untuk diselidiki. Namun sebenarnya, ia adalah soal bagaimana orang tersebut membuat keputusan dan mengambil pendirian dalam hidup. Ia adalah soal kematangan dalam mengambil keputusan. Lebih mudah diketahui tentang ini kiranya orang tersebut terlibat dengan sesuatu persatuan atau pertubuhan. Tetapi yang tidak terlibat, tetap juga perlu dinilai sudut tersebut. Mungkin boleh dilihat dari sudut bagaimana seseorang itu menghadapi masalah. Dia mampu berdikari menyelesaikan sendiri atau masih perlukan bantuan orang, seumpama ibu bapa, sanak saudara dan sebagainya. Boleh juga dinilai ‘keunikan’ pada hidup seseorang itu, maksud saya tentang apa yang dia buat yang tidak sama dengan orang lain buat. Dari situ kita boleh menilai samada dia seorang yang punya prinsip tersendiri ataupun tidak ada prinsip dan cenderung menjadi ‘lalang’ semata-mata.


Keempat : Pergaulan atau Kehidupan Bermasyarakat


Boleh jadi orang tersebut dari jenis ‘hikikomori’, siapa tahu. Boleh jadi juga dia seorang yang peramah, banyak mulut dan mudah didekati. Boleh jadi dia seorang yang gemarkan privacy dan boleh jadi dia seorang yang ‘boleh mati’ jika berada dalam suasana sunyi. Ini penting untuk diketahui bagi tujuan membandingkan keserasian dengan diri anda sendiri. Kata orang, Allah jadikan jodoh itu berbeza lelaki dan perempuan, maknanya kalau si lelaki pendiam si wanita mesti banyak mulut. Begitu juga kalau si lelaki keras, si wanita lebih lembut. Tetapi kata-kata ini sukar juga dibuktikan, kerana di sana ada banyak pasangan yang mana si suami pendiam dan si isteri juga sangat pendiam. Apapun, selidiklah sebaiknya dari sudut pergaulan orang tersebut dan juga kehidupan bermasyarakat.


Kelima : Komitmen Keluarga


Ada orang prinsipnya ‘family come first’ tetapi ada orang tidak. Ada yang terlalu gemar berdikari sehingga keluarga dipinggirkan. Ada yang terlalu tidak pandai berdikari sehingga semuanya masih bergantung pada keluarga. Tetapi rasionalnya menyelidik dari sudut ini adalah, kita sebolehnya mahukan pasangan yang sederhana. Tidak terlalu ‘ketat’ dengan keluarga sehingga langsung tiada ruang berdikari. Tidak juga terlalu renggang sehingga nantinya hidup sendiri-sendiri. Boleh jadi juga apabila mengetahui keadaan orang tersebut dari sudut ini, akan lebih menjadikan anda kenal dengannya. Boleh jadi dia ada masalah keluarga dari kecil, maka di samping anda tahu dan membuat pertimbangan, anda juga boleh fikirkan bagaimana untuk membantu kiranya anda diberi ruang dan peluang.


Keenam : Perancangan Hidup


Ini cukup penting untuk diketahui. Perancangan jangka masa panjang dan juga perancangan jangka masa pendek. Dalam masa yang sama, anda juga seharusnya SUDAH ADA perancangan-perancangan tersebut. Kemudian barulah boleh di’kembar’kan dan dibandingkan peluang atau masalah yang ada. Di samping itu, anda boleh juga menilai samada orang tersebut jenis yang berperancangan ataupun tidak. Kebanyakan lelaki tidak mempunyai perancangan yang jelas sebelum berkahwin. Bahkan ramai yang fikirnya hanya hari ini dan esok, lusa pula cerita lain. Nilai pula dengan diri anda. Kalau anda ‘anti’ dengan jenis tersebut maka buatlah penilaian sebaiknya. Apapun, bab perancangan calon kita sangat penting untuk diketahui lebih-lebih lagi sebelum kita bersetuju untuk menerima.


Ketujuh : Hobi dan Minat


Kadang-kadang, kalau anda bertaaruf melalui borang, apa yang ditulis tentang hobi atau minat tidak menyeluruh. Kadang-kadang, ia seolah sekadar ‘mengisi ruang kosong dengan jawapan yang betul’. Tetapi seseorang itu boleh diketahui hobi atau minatnya dengan lebih jelas dan ‘jujur’ di luar borang mahupun kertas. Selidiki tentang apa yang orang tersebut suka buat di masa lapang atau tidak lapang. Mungkin terlibat dengan gerakan tertentu, pertubuhan tertentu, kumpulan tertentu dan sebagainya. Selidik juga tentang kecenderungan. Ini penting. Dia seorang yang cenderung kepada motosikal, atau pengembaraan, atau penulisan, atau penternakan dan sebagainya. Kecenderungan ini pula perlu dinilai samada memberi kesan besar kepada anda dan perancangan hidup ataupun tidak.


Kelapan : Pantang Larang atau Prinsip


Di atas telah saya sebutkan tentang prinsip hidup, namun ini mungkin lebih kepada pantang larang. Contohnya, dia seorang yang pantang kalau menunggu orang lebih dari 10 minit. Reaksi biasanya adalah, dia akan terus batalkan pertemuan atau perjanjian yang dibuat. Itu tentang dia. Mungkin juga pantang larang dari segi keluarga. Ini juga perlu diketahui. Mungkin keluarganya jenis yang ada pantang larang tertentu. Contohnya, pantang bermenantukan orang Kelantan. Ini berlaku. Contoh lain, pantang anak-anak membuat keputusan sendiri walaupun melibatkan hidup mereka. Atau, pantang anak-anak berkeluarga dan berpindah keluar dari rumah ibu bapa. Sebaiknya, perkara-perkara seperti ini anda tahu dan faham terlebih dahulu.


Kesembilan : Poligami atau Monogami


Meskipun fitrah lelaki itu adalah poligami dan fitrah wanita pula adalah monogami, namun tidak bermakna keduanya akan beroleh hidup seperti itu. Dan tidak juga bermakna keduanya bersetuju merealisasikan fitrah seperti itu. Ada lelaki memang meletakkan syarat supaya membenarkan dirinya berpoligami. Ada wanita memang meletakkan syarat supaya tidak dimadukan, dan sebagainya. Kalau anda wanita dan dilamar, sebaiknya tanyakan dan ketahui pendirian lelaki tersebut tentang hal ini. Tetapi haruslah diingat, bahawa kata-kata, pengakuan mahupun janji-janji lelaki itu tidak menjadi jaminan bahawa dirinya tidak akan berpoligami pada masa akan datang. Itu cerita tentang takdir, Allah sahajalah yang Maha Tahu.


Kesepuluh : Demand pada Pasangan


Ketahui apa yang dia mahukan dari pasangan. Bukan sekadar luaran tetapi juga dalaman. Ada orang secara luarannya dia mahu yang putih, tinggi, hidung mancung dan sebagainya. Ada juga yang secara dalamannya, dia mahukan pasangan yang memahami, murah senyuman, aktif, suka bergurau, berfikiran jauh dan sebagainya. Segala demand orang tersebut sebaiknya anda tahu untuk dijadikan penilaian. Mungkin ada antaranya yang bersifat boleh dilengkapi dan ada juga yang tidak boleh dilengkapi. Mudahnya, demand orang tersebut dari segi rupa paras, karier, sikap, sifat, kelemahan, kelebihan dan sebagainya.






Penutup


Buat akhirnya, suka saya berpesan, bahawa berkenalan sebelum kahwin tidak akan sama dengan berkenalan selepas kahwin. Namun kepentingan untuk kenal sebelum kahwin tetap ada, meskipun tidak menyeluruh. Apa yang saya kongsikan di atas, mungkin antara beberapa perkara yang dirasakan paling penting untuk diberi perhatian. Moga Allah tunjukkan jalan dan berikan panduan.


Sekian.




sumber: myilham.com  [again.hehe ]





Nusrah Walfath: mungkin patut consider nanti.heee. masa untuk menyambung assignment pula. ^^

Lamaran dan khidmat orang tengah


Fitrah yang dijadikan Allah untuk semua manusia, sampai masa dan ketika,kumbang mampir juga mencari bunga. Bahkan dalam dunia hari ini, bukan sedikit kumbang yang mengejar bunga sebelum sampai masanya. Sudahnya, apabila layu ditinggalkan begitu sahaja.


Lamaran adalah sesuatu yang harus, tidak kira dari lelaki kepada wanita atau dari wanita kepada lelaki. Apa yang penting, tidak melamar isteri orang, tunangan orang ataupun isteri yang masih di dalam iddah selepas kematian suami. Maka, anak gadis khususnya, tidak akan terlepas daripada menerima lamaran daripada anak teruna, samada di alam kampus mahupun di alam kerjaya.


Islam sebagai sebuah agama agung, tidak pernah menyekat hal ehwal lamaran tersebut, sebaliknya menyediakan cara dan kaedah tertentu untuk dituruti. Sebagai agama yang memimpin cara hidup manusia, Islam konsisten dengan syariat yang mampu mengelakkan manusia dari ditimpa mudharat dan mampu membawa manusia sepenuhnya ke jalan manfaat. Lalu, dalam bab lamaran ini, Islam ada menyediakan caranya.


Bukan sedikit anak gadis yang kebingungan tatkala dirinya dilamar, lebih-lebih lagi jika lamaran itu hadir ketika masih belajar. Bagi yang tidak kuat pegangan agama dan kurang menyayangi diri sendiri, maka bercouple adalah option yang paling mudah. Bercouple itu matlamatnya bukan berkahwin, sebaliknya sebagai alasan untuk ‘kenal mengenali’ antara satu sama lain. Sudahnya, ramai yang karam di tengah lautan sebelum sempat sampai ke tepian.






Situasi


Perkara pertama yang perlu kita fahami adalah situasi orang yang dilamar. Jika dia seorang anak dara, maka semestinya dia mempunyai wali atau lebih tepat, ayahnya sendiri. Islam memuliakan wanita dan menjadikan bagi mereka ketua yang akan menjaga mereka sepenuhnya. Sebelum berkahwin, bapa dan selepas berkahwin, suami. Justeru, jika dia dilamar sewaktu belum berkahwin, maka orang pertama yang sepatutnya mengetahui perkara tersebut tentulah bapanya sendiri. Maka, sebaik-baik lamaran adalah lamaran dari si teruna terus kepada ayah atau wali si anak dara. Dengan itu, si anak dara tidak akan terganggu dan kebingungan untuk membuat keputusan.


Begitu pun, tidaklah menjadi masalah untuk menggunakan orang lain sebagai orang tengah untuk melamar si anak dara, asalkan ia dilakukan mengikut syarat dan etikanya.


Kedua, jika orang yang dilamar itu adalah janda dan bukan lagi anak remaja, maka dia berhak membuat keputusan atas dirinya sendiri. Cuma, adalah lebih baik lamaran tersebut disampaikan melalui orang tengah yang dipercayai.






Khidmat Orang Tengah


Dalam kedua-dua situasi di atas, pembolehubahnya adalah orang tengah. Siapakah orang tengah dan bagaimana ciri-cirinya?


Sebenarnya, selain ayah atau wali, orang tengah itu boleh jadi sesiapa sahaja, contohnya guru atau majikan, dengan syarat dia mestilah mempunyai ciri-ciri berikut, antaranya :


1- Thiqah dan boleh dipercayai


Seorang yang mempunyai komitmen yang tinggi pada agama dan perintah Allah, adalah orang yang sesuai diberikan kepercayaan sebagai orang tengah. Orang yang mampu menjaga amanah Allah, terutama solat, sudah tentu mampu menjaga amanah sesama manusia. Lihat juga pada kehidupan orang tersebut, mu’amalah harian serta perhubungannya sesama manusia. Orang yang suka mungkir janji, suka berbohong atau mementingkan diri sendiri sama sekali tidak layak dijadikan orang tengah.


2- Aman daripada fitnah


Sebolehnya, orang yang telah berkahwin. Ini bagi memastikan komunikasi lebih terjaga dan tidak terdedah kepada fitnah. Ramai orang menggunakan kawan sendiri sebagai orang tengah atau ‘posmen’ dan akhirnya kawan itu pula tersangkut kerana terlalu kerap berhubung. Maka perkara ini perlu dielakkan.


3- Ikhlas


Pastikan orang tengah itu tidak ada udang di sebalik batu. Jika niatnya menolong hanyalah kerana sebab-sebab tertentu, maka cuba elakkan dari terus berurusan. Orang tengah itu perlulah seorang yang ikhlas dan benar-benar mahu menolong kita mengenali calon tersebut.


4- Berpengalaman


Gunakan khidmat orang yang lebih berpengalaman terutama dalam hal ehwal rumahtangga. Dari situ dia juga boleh memberikan sudut pandang yang lebih luas serta nasihat-nasihat yang berguna kepada kita, selain membantu kita dalam berurusan dengan pihak yang melamar.


5- Mengenali calon


Sebaiknya, orang tengah tersebut mestilah mengenali calon yang datang melamar. Justeru dia mampu memberikan kita maklumat yang jelas dan berlaku adil dalam proses ta’aruf. Jika dia tidak mengenali calon tersebut pun, sekurang-kurangnya dia mampu mendapatkan maklumat daripada kenalan rapat si calon melalui cara tertentu.






Kenapa Gunakan Orang Tengah?


Ramai orang mengelak dan memberi pelbagai alasan untuk tidak menggunakan khidmat orang tengah. Mereka lebih selesa berurusan sendiri dan meletakkan urusan tersebut dalam ‘folder’ peribadi. Kedegilan inilah yang banyak membawa kepada zina ataupun mukaddimah zina. Alasan-alasan seperti segan,takut,kekok dan tiada privacy harus dicampak sejauhnya jika benar anda seorang yang ikhlas mahu berumahtangga. Tidak ada sebab untuk malu dalam perkara yang halal dan tidak ada sebab untuk menjadi pengecut dalam perkara yang benar.


Khidmat orang tengah ini penting bagi mengelakkan anda tersalah pilih atau terjebak ke dalam kancah maksiat. Semua orang tahu, apabila dua hati berhubung tanpa ada kawalan, maka syaitan lebih mendominasi. Daripada seminggu sekali kepada sehari lapan kali. Dari bertemu bawa teman kepada bertemu sorang-sorang. Sebaik mana pun anda dan sewarak mana pun calon anda, tiada sebarang jaminan untuk Syaitan tidak menyesatkan anda. Maka, berhubunglah seperti biasa tetapi melalui orang tengah yang dipercayai, sepertimana ciri-ciri di atas.


Hari ini, ramai anak dara dan teruna yang tidak berani untuk memberitahu keluarga tetapi masing-masing sudah membuka peluang antara satu sama lain. Justeru, jika tidak mahu terus kepada si ayah sekalipun, carilah individu tertentu yang anda percayai serta bersedia untuk membantu anda dan dia dalam berkomunikasi.


Matlamat yang hendak dicapai tetap akan tercapai, iaitu berkenal-kenalan sebelum ke proses seterusnya.







Harapkan Orang Tengah, Orang Tengah Tak boleh Harap


Banyak berlaku situasi, kawan kepada si lelaki memperkenalkan si lelaki kepada seorang wanita. Maka kawan tersebut dianggap sebagai ‘orang tengah’. Ini kefahaman yang salah. Orang tengah fungsinya bukan sekadar itu. Orang tengah itu seharusnya seorang yang bermaruah, ada iltizam dan amanah dengan apa yang dilakukan. Bukan sekadar memperkenalkan antara dua orang, kemudian membiarkan keduanya hanyut dengan perhubungan sendiri. Sepertimana luahan seorang pembaca blog ini :



"bagaimana nak berhadapan dgn situasi, orang tengah(jenis tak menjaga ikhtilat) memperkenalkan dia pada kita, kemudian mereka membiarkan kami berdua berkenal sendiri…no idea bagaimana nak handle situasi ini, kalaulah boleh nak komunikasi hanya menggunakan orang tgh utk mengenali..tp masalahnya org tengah sendiri tak menjaga ikhtilat…pada siapa harus sy minta pertolongan??"


Dari satu sudut lain, bagaimana mungkin ‘orang tengah’ itu mahu berfungsi sebagai orang tengah, jika dia sendiri pun seorang yang tidak amanah dan tidak jelas akan matlamat baitul muslim, apatah lagi jika orang tengah itu pun seorang yang tidak menjaga ikhtilat.


Dalam situasi ini, sebenarnya ‘orang tengah’ itu bukanlah orang tengah, sebaliknya hanyalah seorang yang menjadi asbab perkenalan sahaja. Maka, langkah seterusnya adalah, jika benar mahu pergi lebih jauh dalam hubungan tersebut, lantiklah orang lain sebagai orang tengah berpandukan ciri-ciri yang dinyatakan di atas.







Kesimpulan


Penggunaan khidmat orang tengah akan menjadikan perhubungan anda dan dia lebih berdisiplin. Lebih menarik, jika orang tengah tersebut mampu membuatkan anda lebih kenal dengan si dia. Banyak cara yang boleh digunakan. Apa yang penting, disiplin dalam perhubungan tetap terjaga. Tiada kes-kes bergayut sampai pagi ataupun ber’sms’ sampai lebam. Usah merasa risau kiranya yang melamar itu tawar hati dengan anda kerana anda tidak mahu berhubungan secara langsung dengannya, kerana seorang yang benar-benar ikhlas akan bersikap terbuka terhadap kaedah yang menguntungkan anda berdua. Yakinlah, bertegas dengan prinsip untuk menggunakan orang tengah jauh lebih baik berbanding mendedahkan diri anda kepada perhubungan yang tidak jelas arah tujunya.






Sekian.


sumber: myilham.com


nusrah walfath: bagaimana agaknya bila saya perlu jadi orang tengah? mampukah? teringat kata-kata seorang teman, "guna la orang tengah. indah. terjaga" Saya masih belum merasa. mungkin belum masanya. :)

Biar dia semakin jauh


bila dia menjauh,
bila masa membina jarak,
dan jarak membina tembok.


jangan pernah lupa bahawa kita pernah bertanya pada DIA tentang dia.
jangan lupa bahawa kita pernah meminta DIA menjauhkan dia,
bila dia bukan untuk kita.


maka bila dia semakin jauh,
mungkin ini petunjuk dariNYA.
belajarlah kembali menjalani hari dengan sendiri.
belajarlah menerima dengan redha dan lapang dada.
kerana aturan Allah lebih indah dan baik dari yang dijangka.


jangan pernah lupa,
semua hanya boleh berlaku dengan izin dan redha-NYA.
maka bila bukan namanya yang tertulis dalam rencana-NYA,
maka,
biarlah DIA menjarakkan dia dari kita…. :’)






nusrah walfath: sedang menerima tarbiyah dari Allah. Dia sedang menguji hati kecil. Mungkin Allah mahu menegur saya. Mengingatkan diri akan kuasa dan kehendak-Nya. Hati sedang redha dengan pilihan-Nya. insyaAllah. akan berusaha. Allahurabbi ;') Biar dia semakin jauh asalkan Dia semakin dekat~

Ditolak bukan ertinya tak laku


Wajah sugul itu seakannya benar-benar menjelma di depan mata. Luahan dalam tangisan, bersandarkan sebuah ketabahan. Bukan mahu merintih, tetapi sebagai manusia, adakala sukar melawan goyah. Apatah lagi apabila hati menjadi taruhan.

” Sudah beberapa kali direject…”

Mendengar lirihan itu, saya andaikan ia sebagai mewakili seluruh luahan gadis malang yang sepertinya. Malang secara zahir pandangan manusia, tetapi beruntung pada pandangan Yang Maha Esa. Apa yang terdetik di hati kecil saya cuma satu, alangkah cemburu dengan tingginya martabatmu, andai kesabaran menjadi pilihan nombor satu.



BUKAN PILIHAN

Samada lelaki atau wanita, si dara atau teruna, keduanya berpotensi menjadi mangsa sebuah penolakan. Faktornya mudah, engkau bukan pilihan. Siapa yang dapat memaksa sebuah pilihan, andai hati sendiri tiada keinginan. Ada yang ditolak seawal perkenalan, ada yang ditolak di tengah perkenalan dan ramai juga yang ditolak ketika sudah hampir ke gerbang perkahwinan.

Memang alasannya mudah ; bukan pilihan. Namun untuk memujuk hati supaya redha dan menerima, sesungguhnya amat payah.

Bagaimana berbunganya hati seorang gadis tatkala menerima perkhabaran dirinya sedang dirisik. Hati mula memasang pelbagai anganan, tentunya yang manis-manis dan indah belaka. Namun perkhabaran kedua merobek jiwa. Si teruna ‘tidak berminat’ untuk melamarnya.

Ya. Engkau bukan pilihan.




DIA TELAH MEMILIHMU

Dalam kesedihan itu, kadangkala kita sama sekali tidak sedar. Bahkan mungkin juga tidak terfikir. Nun jauh di sana, di suatu tempat yang kita sendiri tidak tahu lokasinya, si dia sedang menadah tangan memohon kepada Yang Esa. Tanpa jemu dia meminta. Antara doanya adalah supaya engkau dan dia dipertemukan dalam suasana penuh barakah dan keredhaan Allah ta’ala.

Engkau menangis, dia berdoa.

Engkau bersedih, dia tetap dengan doanya.

Engkau patah hati, dia terus tabah mengutus doa.

Alangkah indah, jika hijab itu terlerai tatkala engkau sedang merintih berduka. Tentunya gembira dan bahagia akan menjadi temanmu serta merta.



SABARLAH

Tetapi DIA mensyaratkan sesuatu, iaitu kesabaran.

Dia, lelaki itu, dia telah memilihmu.

Dia, lelaki itu, sedang menuju ke arahmu.

Dia, lelaki itu, sedang menyiapkan sebuah taman untukmu.

Dia, lelaki itu, sedang bersabar menanti pertemuan denganmu.

Tetapi engkau membalasnya dengan tangisan dan kegundahan. Mungkin, sebab utama adalah engkau kurang yakin. Jarang benar orang yang yakin dengan suatu perkara yang dia tidak nampak. Jarang benar orang boleh yakin dengan sesuatu yang entah bila tarikh dan waktunya akan tiba.

Manusia tidak akan membeli suatu barang kecuali setelah dilihat dan diyakini kualitinya. Tetapi engkau bukan barangan. Prosesnya nanti bukan proses jual beli.

Ia adalah proses akad yang cukup mulia. Detik-detik yang akan melakar senyum manis di wajahmu sampai bila-bila.



IMAN

Kunci paling utama untuk sebuah kekuatan hanyalah IMAN. Dengan iman, manusia yakin kepada percaturan Tuhan. Tanpa iman, manusia cenderung berputus asa apabila gagalnya sesuatu rancangan.

Mungkin ada yang akan mengadu lirih :

aku bukan tidak sabar dan aku bukan lemah iman. Mungkin kalau sekali atau dua, aku masih boleh bertahan. Tetapi apabila kali ke seterusnya, aku rasanya aku sungguh tiada guna dan nilainya. Bagaikan orang tak laku pula.

Izinkan saya membetulkan, konsep kepercayaanmu itu silap.

Sudah dikata, ini bukan proses jual beli. Dan engkau, bukan barangan yang tiada harga, yang boleh ditafsir laku atau tidaknya.

Ditolak, sama sekali bukan bermakna engkau tak laku.

Bahkan sebenarnya engkau bukan ditolak, tetapi dia sedang akur pada arahan Allah bahawa engkau tercipta bukan untuknya. Sewajarnya engkau merasa syukur dan bergembira, kerana engkau sama sekali tidak bisa menjangkakan, musibah apa yang akan menimpa kalau Allah jodohkan engkau dengan orang yang tidak selayaknya.



BE POSITIVE

Ayuh jadi manusia yang positif. Memilih untuk menjadi manusia yang positif bererti memilih untuk menjadi manusia yang bahagia dan bukannya hidup dalam derita dan sengsara.



PERTAMA :

Ajak hati untuk meyakini Allah tahap maksima. Lawan bisikan dan hasutan jahat dari Syaitan yang mahu menghakis rasa percaya kita kepada Qadha dan Qadar Allah. Kadang-kadang kita sukar untuk yakin bahawa dia yang datang kepada kita, atau dia yang dipertemukan dengan kita, yang kemudiannya kita ditolak, adalah bukan calon suami/isteri kita yang sebenar.

Kita berhujah, ‘hati kecil’ kita yakin yang dia adalah orangnya. Justeru ketika dia memilih untuk menolak, kita ditimpa sejuta rasa kecewa lantaran ‘berimankan’ kepercayaan kepada bisikan hati sendiri.

Sewajarnya saya bertanya ; antara engkau dan Allah, siapa yang lebih kenal akan si dia..?



KEDUA :

Jadilah diri sendiri. Ada kes, seorang gadis dari jurusan undang-undang dirisik seorang ‘ustaz’ dari jurusan agama. Tetapi akhirnya ditolak, atas sebab si ‘ustaz’ mahukan yang tinggi ilmu agama. Terkesan dengan rasa kecewa, si gadis lantas ‘membuang’ dirinya yang sebenar dan cuba menjadi ustazah, dengan harapan dirinya tidak akan ditolak lagi.

Pada saya, ini suatu yang silap. Apa yang sering saya tekankan adalah, jadilah diri anda sendiri. Kalau anda berada di jurusan profesional, jangan meniru-niru supaya menjadi ustazah.

Sila fahami dengan baik, saya tidak bermaksud menjadi ustazah itu tidak baik ataupun meningkatkan ilmu agama itu tidak baik, tetapi saya bercakap dalam konteks membina diri supaya menjadi diri anda sendiri dan bukan orang lain. Refleksi diri itu salah. Sepatutnya, memperbaiki kefahaman terhadap agama dan meningkatkan akhlak sahsiah ke tahap yang lebih baik, dan bukannya berubah dari seorang manusia kepada seorang manusia yang lain.

Baca ulasan saya tentang membina karisma diri di post ini.



KETIGA :

Berdamping dengan orang-orang yang positif. Jangan bergaul dengan kawan-kawan yang hanya memberikan pandangan dan justifikasi negatif kepada kita. Dalam keadaan kecewa dan tertekan, kita perlukan tempat berpaut. Pautan paling positif pertamanya tentulah di dalam solat, di hadapan Allah. Jawapan Allah memang tidak kedengaran di telinga, namun diberikan terus ke dalam jiwa. Pautan kedua, berpautlah pada orang-orang yang positif dan rasional. Orang-orang yang hampir kepada Allah dan kata-katanya juga bisa menghampirkan diri kita kepada Allah.



KESIMPULAN

Kongsikan motivasi ini kepada sahabat-sahabat anda yang sedang berduka. Kadangkala, sepatah dua kata sudah cukup untuk menggembirakan mereka. Kadangkala, dalam keadaan lemah dan tiada tempat berpaut, mereka bisa terjerumus kepada tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya.

Hanya ini yang saya mampu, berkongsi motivasi untuk menguatkan anda dan juga diri saya sendiri. Apakan daya, saya dan anda bukanlah penentu sesebuah takdir, hanya manusia-manusia kecil dan tetap patuh dan akur pada segala aturan dan percaturan dariNya.

Mudah-mudahan, balasannya ada di akhirat sana.



sekian.



sumber; myilham.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...