![]() |
" luka hati yang berdarah..kini jadi kian parah..
semalam sudah sampai ke penghujungnya...
kisah seribu duka ku harap sudah berlalu..."
Simpan sorang-sorang.
Senyum pahit.
Ada secalit duka cuba ditahan.
Ah,
saya kalah lagi dengan perasaan sendiri.
"kak Nusrah, patut ke saya terus suka dia?"
"kakak, saya suka dekat dia. Boleh ke?"
"kalau macam tu, apa perlu saya buat?"
"saya tak fikir pun dah pasal dia sebab nak kosongkan hati"
Saya diam sahaja. Mahu respon pada segala kata-kata di atas tapi saya sendiri pun dalam keadaan kurang stabil. Ada beberapa situasi di mana saya sengaja mendiamkan diri. Kalau sebelum ini saya adalah teman setia pemberi nasihat dan pandangan, sekarang tidak lagi. Bukan saya tidak mahu tapi saya mahu teman-teman saya di atas ini belajar untuk membuat keputusan sendiri. Saya mahu mereka belajar berfikir. Belajar menilai dan menimbang baik buruk suatu perkara.
Mengapa saya memilih begitu? Ini adalah kerana apabila saya sedar bahawa mereka ini sebenarnya tidak akan selamanya bergantung kepada saya. Mereka ini sebenarnya sudah dewasa. Suatu masa, Allah akan ambil nyawa saya. Suatu masa, saya akan pergi meninggalkan dunia ini. Saya berfikir dengan sedalamnya. Saya memilih untuk berdiam diri. Tidak mahu memberi pendapat, tidak mahu campur urusan. Cukup sekadar memerhati dan memantau sebab saya tahu kebanyakan mereka sebenarnya tidak memerlukan nasihat saya.
Saya pernah merasa usia seperti kalian. Zaman muda belajar mengenal cinta. Banyak hati dan perasaan yang terusik dan di usik. Saya faham itu semua. Dan ia terpulang kepada kita bagaimana kita menyalurkan segala rasa itu. Pada mulanya, saya memilih untuk terus berdiam dengan segala perasaan yang ada tapi mendengarkan nasihat seorang ibu pagi tadi, saya memilih untuk menjawab beberapa soalan adik-adik saya itu. Terpulang mahu menerima atau tidak. Saya tiada masalah.
Bila Kita Suka Seseorang
Manusia itu lumrahnya mudah jatuh hati. Baik lelaki mahupun perempuan, semuanya punya rasa suka dan tertarik dengan yang berlainan jantina. Jatuh hati, jatuh cinta, jatuh kasih, jatuh suka, semua itu tidak salah. Kerana yang mengurniakan segala rasa itu adalah Allah. Ibu saya, yang sangat saya kagumi, yang selalu saya kalah dengan nasihat dan penyampaiannya selalu menekankan berkenaan istikharah. Pagi tadi dia bertanya, "when the moment you should start doing istikharah?" Semua orang diam. Saya juga diam. Masih ligat berfikir.
"It is not the moment you love someone and you already declare with him or her. It is before that. You know when?"
Semua masih membatu menyepikan diri. Dia memandang dengan penuh kasih sayang. Dia menunjukkan ke arah hati. "You should do your istikharah on the moment you feel attracted to somebody. Regardless you know he/she already have couple or not. Don't you remember the du'a of istikharah? What are you asking for? Don't you?"
Ah, jiwa saya tersentuh.
"When you start liking someone, ask Allah. Pray to HIM. O'Allah, if this person meant to me and could lead me to Jannah, please make the way easier. But if not, please let this feeling go away. Please let this person stay away from me. Don't let me see this person again and again"
Dan ibu tersayang masih menambah, "you know what it means by make thing easier?"
Diam.
"It is when you like someone even you don't know who he or she is. So, ask Allah to let you know her/him."
Untuk beberapa saat, saya diam berfikir. Saya sudah beristikharah. Saya sudah memohon begitu begini dengan Allah. Tapi....
Kemudian, ayat terakhir yang betul-betul meruntun hati saya ialah, "The longer you wait to do istikharah, the more you will be in trouble" "because when you wait after you like someone in a longer period, it seems that it is hard for you to accept the fate if the answer of your istikharah is not good. Believe me, it will trouble you a lot"
Allah tidak pernah beri apa yang saya suka
Nasihat ibu pagi tadi ibarat memanah tepat ke jantung saya. Saya suka melengahkan istikharah. Sampai satu moment saya sudah terlalu suka dengan orang, saya merasa susah melepaskan dia walaupun jawapan istikharah saya itu begitu. Dan saya bersetuju, the longer we wait to do istikharah, the more trouble we get. Saya rasa, kalau awal-awal lagi saya buat, tentu saya senang menerima keputusan dari Allah. Tentu saya tidak sekecewa sekarang. Tentu saya tidak perlu menahan rasa luka yang parah. Tentu tidak perlu.
Dan bagi menjawab soalan adik saya, "kak Nusrah, perlu ke saya teruskan suka dia?"
Saya tidak ada jawapan untuk itu. Sebab itu perasaan kamu. Yang tahu baik buruknya adalah kamu. Bukan saya. Saya cuma mampu beri nasihat dan pandangan yang entah boleh diguna pakai atau tidak. Apa yang saya boleh saya katakan ialah, buatlah istikharah. Lihatlah taqdir itu nanti bawa kamu ke mana. Cuma berhati-hatilah dalam menafsir petunjuk dari Allah. Selagi belum terlambat, awal-awal ni lakukanlah istikharah. Tidak ada apa yang rugi walaupun kamu terpaksa melepaskan perkara yang kamu suka. Biar sakit sekarang bukan masa hadapan.
Saya hanya mampu memandang, memerhati, mendengar dan melihat. Kamu seorang yang bertuah. Bukan semua orang dapat duduk di tempat kamu. Bukan semua orang bila dia suka orang, orang tu suka dia jugak. Bukan semua orang dapat merasa begitu. Termasuk saya. Saya adalah manusia yang hanya ada Allah. Yang hanya tahu berlari mengejar cinta-Nya. Yang hanya sedar bahawa Allah sentiasa menemani. Yang hanya tahu Allah mendengar tangisan saya. Yang tahu Allah bersama setiap kali bahagia menjelma. Yang sentiasa sedar Allah tidak pernah beri apa yang saya suka. Sebab Allah menjaga saya dengan baik sekali. Sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk saya. Sebab Allah sayang saya. Biarlah manusia lain tidak menghargai saya tapi Allah ada.
Bukan Cakap Kosong. Kamu Kena Usaha.
Saya sentiasa percaya bahawa bila kita berusaha, Allah akan bantu kita. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Sama seperti bila kita berusaha untuk belajar bila mana tiba waktu exam. Kita berusaha sedaya upaya sebab kita mahu berjaya. Sama jugalah dalam kondisi menjaga hati. Ia takkan berjaya jika tiada usaha. Tak akan pernah berjaya.
Ada yang bertanya saya, bagaimana caranya nak kosongkan hati. Saya bagi tips berjela-jela. Sudahnya, saya tak nampak apa-apa perubahan pun. Yang saya nampak, orang ini semakin dekat dengan orang yang dia suka, semakin banyak pula interaksi antara mereka. Sampai saya sendiri jadi keliru dengan keinginan budak ini.
Hari ini saya berfikir panjang dengan sms yang saya terima semalam. Dan sengaja saya membiarkan sms tersebut. Sengaja tidak mengulas apa-apa. "Saya dah tak fikir pun pasal tu. Saya cuba kosongkan hati tapi tak tahu berjaya ke tak sebab tak tahu kayu pengukur kejayaan itu." Saya teringat tentang diri saya. Tetiba saya berasa hairan. Bagaimana saya boleh berhenti suka dengan orang? Saya tertanya-tanya. Akhirnya saya dapat jawapan.
Jawapannya ialah MAHU + USAHA. Kamu takkan berjaya kalau tak nak berusaha. Bila ada kemahuan, di situlah akan adanya usaha. Semakin tinggi kemahuan kita, semakin kuat dan besar juga usaha kita. Ya, itulah yang saya lakukan. Saya berusaha keras melawan rasa hati. Saya jatuh, saya bangun. Saya rebah, saya bangkit. Saya terpijak duri, saya teruskan juga walaupun saya terpaksa merangkak! Sungguh, ia bukan senang tapi ia tidak mustahil walaupun ia melibatkan soal hati.
Usaha saya paling keras ialah MENJAUHKAN DIRI. Saya melalui detik-detik yang sangat sukar. Saya berusaha melarikan diri sehabis yang termampu. Mula dengan perlahan-lahan, akhirnya dengan kuat dan akhirnya saya BERJAYA! Saya jauhkan diri melalui semua medium. Lama juga masa yang saya ambil. Bukan mudah. Tapi bila ada kemahuan, di situlah letaknya titik kejayaan kita.
Saya menjauhkan diri bukan sebab saya dah tak sudi nak berkawan. Bukan sebab saya sudah menerima lamaran orang. Bukan sebab saya mahu menyombongkan diri. Bukan sebab itu semua. Tapi sebab saya mahu jaga hati saya. Beri peluang pada saya untuk jaga hati saya sendiri. Sebab tu saya pesan sebelum ni, kamu jangan usik hati saya lagi. Betapa susahnya saya bangun melawan segala rasa perit, betapa susahnya saya berdiri setelah berkali-kali perasaan dihenyak. Susah.
Cinta di hadapan saya
Semalam saya teruji lagi. Cuba menahan segala rasa dengan senyuman. "Allah, tolong jagakan mereka. Saya sayang mereka tapi saya tak mampu terus menjaga mereka"
Saya cakap ini betul-betul. Saya yang dulunya merangkak mengejar cinta Ilahi. Saya yang dahulunya bertatih mengejar kasih Ilahi, sekarang ini sedang berlari kencang mengejari-Nya. Tolong jangan usik hati saya, Tolong jangan mengganggu perjalanan saya. Tolong jangan rampas cinta saya pada-Nya. Saya masih belum puas. Saya bersyukur bila Allah tidak beri apa yang saya mahu. Bila Allah tidak beri apa yang saya suka. Sebab ia semakin mendekatkan diri saya dengan-Nya. Ia memberi peluang kepada saya untuk terus bercinta dengan Ilahi. Untuk terus menadah tangan dan berharap menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang begitu merindukan cinta Ilahi. Saya masih mahu bercinta dengan Allah tanpa diganggu.
Saya cuma manusia biasa.
Saya berusaha dengan luar biasa.
Kerana cinta saya ini bukan biasa.
Tetapi ia adalah untuk Yang Maha Esa.
~ bila cinta menjengah ~