إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

Gadis Bertudung Hitam



15 Zulhijjah 1433H
31 Oktober 2012


1130 Pagi

Gadis berjubah hijau bertudung hitam melangkah penuh ceria pulang ke Mahallah. Puas hati dengan peperiksaan pertengahan semester yang baru sahaja selesai walaupun soalan itu sememangnya agak susah. Gadis bertudung hitam sempat online sebentar setelah sampai di bilik. Gadis bertudung hitam itu sempat tersenyum manis di depan laptop. Tentu ada sahaja perkara yang menarik hatinya.

330 Petang

Gadis bertudung hitam sudah menanti pensyarah di dalam kelas. Petang itu, pensyarah telah menyerahkan kembali kertas jawapan kepada para pelajar. Jelas sekali, semua pelajar kelihatan kecewa dengan keputusan peperiksaan. Majoritinya gagal. Gadis bertudung hitam tersenyum. Dia memandang rakan di sebelah. Gadis bertudung hitam sempat berkata, "stress. Dapat paper exam lagi stress dari jawab exam". Namun begitu, gadis bertudung hitam terus menghadiahkan senyuman kepada rakan sebelah walaupun hatinya hiba. Memandangkan rakan di kiri dan kanannya sudah kelihatan tertekan yang teramat, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Jadi, dia masih tidak lekang dengan senyuman sehingga berakhirnya kelas.

0530 Petang

Gadis bertudung hitam berada dalam kelas yang terakhir pada hari tersebut. Jelas sekali, hatinya gundah gulana. Dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap presentation pada petang itu. Dia menoleh kepada rakan di sebelah. Kemudian dia berkata;

"korang boleh tolong tulis kata-kata semangat? Nak letak kat sofboard sebab dah boring tengok yang lama. Langsung tak tukar-tukar."

"tapi kitorang takde kertas lawa la. nak tules tu kena buat cantik-cantik"

"takpe, guna kertas A4 pun boleh"

Tak lama kemudian, rakan disebelah menyerahkan kertas kata-kata motivasi tersebut. Pesannya kepada gadis bertudung hitam supaya tidak terus baca sebab malu. Gadis bertudung hitam kemudiannya ambil dan simpan kertas itu dalam beg.

0645 Petang

Gadis bertudung hitam keluar dengan perasaan yang terkejut. Hujan? Lebat pula tu. Bagaimana mahu pulang ke bilik? Buntu. Gadis bertudung hitam mula berfikir sendirian. Alang-alang sudah hampir Maghrib, eloklah rasanya dia ke masjid. Tak lama lepas tu, seorang teman menegur. Dia berjalan bersama gadis bertudung hitam di dalam hujan dengan payungnya. Baiknya hati rakannya. Sanggup memayungi si gadis bertudung hitam sampai ke masjid. Sesampainya di masjid, azan kedengaran sebaik sahaja si gadis bertudung hitam selesai berwuduk.

0720 Petang

Si gadis bertudung hitam selesai solat Maghrib berjemaah. Tak lama lepas tu, dia bangkit menunaikan solat dua rakaat. Mungkin solat hajat, mungkin juga solat istikaharah. Hanya dia yang tahu. Kelihatannya dia sujud sangat lama dalam setiap sujudnya. Juga, doanya kelihatan panjang seusai solat. Si gadis bertudung hitam kelihatan sebak. Tetapi tiada langsung mutiara jernih yang keluar. Kemudian si gadis bertudung hitam melangkah ke ruang tengah masjid. Dia mencapai handphone. Perutnya lapar. Jadi, dia cuba mendail nombor kawan-kawannya untuk mengajaknya makan bersama. Malangnya, tiada sorang pun yang jawab telefon. Dia makin sedih. Lantas, dia membuka beg. Kelihatan ada sekotak hadiah yang comel. Hadiah yang dia dapat ketika jawab kuiz dalam kelas. Kemudian, si gadis bertudung hitam terpandang nota yang ditulis oleh kawannya. Dia ambil dan baca.

Tik!

Airmata bergenang.

Sebak melanda.

Segara dia simpan kembali nota tersebut kerana dia malu untuk menangis di tengah-tengah ruang masjid. Kemudian, dia mengubah kedudukan. Dia bangun dan duduk di dudut belakang masjid. Di situ, hatinya sebak. Dia termenung memandang handphone. Dia lapar. Dia sedih. Segala perasaan bercampur.

Si gadis bertudung hitam sudah mula bergenang airmata. Puas dipujuk segala rasa hati. Puas dia mengingatkan diri akan kasih sayang Allah. Ketika itu, dia terbayang-bayang kejadian pada hari Isnin lalu, dia terbayang-bayang kertas peperiksaan yang mengecewakan hati. Dia terbayang-bayang dengan apa yang diminta dalam doa nya. Dan ketika itu, terngiang-ngiang pula suara seorang sahabat dua tahun yang lalu, "nak sedih apa, kan Allahuma'ana".

Lantas, dia bangun dan mengambil al-Quran.

Surat cinta Ilahi itu dibuka dan airmata juga laju merembes keluar. Dia menangis tanpa henti. Dia terpukul dengan apa yang dibacanya. Si gadis bertudung hitam sudah hilang rasa malunya. Dia sudah tidak peduli akan sesiapa yang memandang. Dia berasa tenang dapat menangis di rumah Allah.

Di sudut masjid itulah dia melepaskan segala tangisan. Dia melepaskan segala rasa lemah nya. Andainya ada yang peduli, mahu sahaja dia dipeluk oleh seorang teman, mahu sahaja dia melepaskan segala tangisan di bahu seorang rakan. Namun dia sedar, ketika itu dia punya Allah.

Ketika hatinya hiba membaca ayat cinta-Nya, telefon bergetar. Ada yang sedang memanggil. Seorang sahabat. Si gadis bertudung hitam menjawab telefon dengan suara serak. Kawannya bertanya;

"awak demam ke? tak sehat?"

"tak lah.. ok je"

Kemudian diam. Airmata nya menitis laju.

Kawan di hujung talian memanggil lembut. Dan kemudian dia diam dan membiarkan sahaja si gadis bertudung hitam menangis semahunya di sebalik telefon itu. Tak lama kemudian, kawannya bersuara;

"kita ada sesuatu untuk awak. Kita nak baca ni. Dengar ye."

Kemudiannya, dia bacakan Suruh Al-Insyirah dari ayat pertama hingga akhir. Si gadis bertudung hitam diam. Tenang.

Kemudian, kawannya berkata lagi, "di sebalik kesusahan ada kesenangan"

Setelah panggilan telefon diletakkan, si gadis bertudung hitam sambung mengaji. Tak lama kemudian, seorang lagi teman sedang calling. Dia berat hati juga untuk menjawab panggilan itu tapi dijawabnya juga.

Seperti yang di duga, sahabat di hujung talian, terkejut dengan suara gadis bertudung hitam yang berubah seratus peratus. Akhirnya, terkoyak sebuah senyuman di bibir gadis bertudung hitam kerana kepetahan sahabatnya itu.

0810 Malam

Sebaik azan Isyak, gadis bertudung hitam sudah semakin pulih. Dia berjaya memujuk hatinya. Dia berjaya menenangkan dirinya buat seketika. Usai solat, dia duduk sebentar. Tak lama kemudian, sahabatnya yang pertama call tadi muncul. Dia datang menghadiahkan senyuman. Dia datang memberikan suatu nota kasih. Dan bersama dia juga, si gadis bertudung hitam pulang ke Mahallah menaiki motor di dalam gerimis hujan.

--------------------------------------------

Apa yang dapat kita belajar dari kisah Gadis Bertudung Hitam ini? Banyak sebenarnya.

1. Ketika tiada sesiapa mahu mendengar, tiada sesiapa di sisi, ingatlah bahawa Allah sangat rindu dengan kita. Allah mahu kita mengadu pada-Nya.

2. Sentiasa peduli dengan kawan-kawan di sekeliling kerana mereka mungkin sedang menanggung seribu duka. Sekurang-kurangnya kita mampu untuk menjadi penawar buat dia. Kalau tidak  semua pun, sikit jadi lah.

Dan untuk yang lain-lain, mungkin kalian boleh fikirkan apa pengajarannya. Sebab saya percaya, setiap kisah atau cerita pasti akan ade sesuatu yang kita belajar darinya. :)

-------------------------------------------

Ada garis sedih dalam hati.
Ada garis sayu dalam jiwa.
Saya tak suka perasaan macam ni. 

-------------------------------------------

Lastly, Selamat Pengantin Baru buat Mohammad Kamarul Helmi dan Nik Nadia Izyan. Maro adalah salah seorang pembaca blog saya (kekadang), dia juga rajin komen kat blog ni (dulu-dulu), dia juga penasihat saya masa saya jadi AEM5 Convest'11. Tahniah sekali lagi buat Maro ;))











~ I drop du'as. Not bombs ~

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...