إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

..Allah bukan tidak menjawab kamu..


Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.

Dia merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.

Akhirnya dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.

Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?

Kebersihan iman

Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya, perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.

Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.

Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.

Jadi, keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita.

Ada tujuan.

Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.

Tujuan ujian

Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Nyata, tujuan ujian hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.

Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.

Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.

Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman Allah SWT:

Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.

Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.

Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab

Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati, apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’, bukan sekadar bicara-perkataan.

Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.

“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”

Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya terlutut semula.

Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.

Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.

Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.

Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 25-26.

Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?

Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.

Dia tahu waktu dan ketikanya.

Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?

Penutup: Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.

Ada di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.

Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?

Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 11-12.

Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.

Jadi bagaimanakah kita?

Apakah benar Allah meninggalkan kita?

Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.

Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.

Kita ini ingin tergolong dari kalangan mana?

Yang percaya? Atau yang meninggalkanNya?



~Langit Ilahi ;-)


..Daripada kepayahan datangnya kekuatan..


Orang mudah mengeluh bila ditimpakan ujian dan cabaran ke atas dirinya. Orang senang merungut bila ditimpakan halangan di atas perjalanannya, ditaburkan duri di atas perjuangannya. Payah. Susah. Itu semua melemahkan dirinya.

Jangan kata orang, saya sendiri juga biasa merasakan kelemahan-kelemahan itu apabila diletakkan dugaan dan ujian di dalam perjalanan kehidupan saya. Kadangkala hingga pernah diri ini berkata kepada Allah SWT, “Ya Rabb, apakah Engkau tidak lagi melihat hambaMu ini? Bukankah semua ini di luar kemampuanku?”

Tetapi kadangkala keimanan itulah yang membangkitkan semula pemerhatian adil kepada Allah SWT. Allah mustahil meninggalkan hamba-hambaNya, melainkan hamba-hambaNyalah yang meninggalkan dia. Jadi pokok pangkalnya, kita perlu bertenang dan melihat semula.

Apakah yang sebenarnya Allah mahu berikan kepada kita dalam kepayahan itu?

Pasti ada hikmahnya.

Bukanlah kita yang layak hendak menyelongkarnya. Tetapi…

Kalau membicarakan ilmu Allah SWT, memang kita tak akan mampu menyelongkarnya secara sempurna. Tiadalah ilmu kita melainkan sedikit sahaja. Itupun, Allah jugalah yang memberikan yang sedikit itu.

Tetapi dengan sedikit ilmu pemberian Allah SWT itu, kita cuba juga melihat hikmah-hikmah yang mampu kita lihat.

Dengan ilmu itulah, kita menilai.

Contoh yang akan diambil: Tarbiyah Allah SWT kepada mereka.

Siapakah mereka?

Mereka adalah para anbiya’. Kita ambil contoh daripada mereka, untuk menunjukkan bahawa, segala cubaan dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita ini sebenarnya adalah untuk kebaikan kita. Tinggal, kita sahajalah yang perlu memerhatikannya dengan teliti, dan belajar untuk memupuk sangka baik kepada Allah SWT dalam diri kita.

Mari, perhatikan, bagaimanakah kepayahan dan ujian itu membina peribadi mereka.

Contoh 1: Musa AS

Kita melihat kepada Nabi Allah Musa. Antara tarbiyah menarik yang berjalan ke atasnya adalah perjalanannya dengan seorang lelaki soleh(dunia mengenali lelaki ini sebagai Khidr).

Baginda berhadapan dengan kesukaran memahami tindakan lelaki tersebut, sehingga tercabar kesabarannya. Jika kita perhatikan, sebelum baginda Musa AS menjadi Nabi, baginda digambarkan oleh Allah SWT sebagai seorang yang kasar, kurang sabar, dan cepat terjun kepada keputusan.

Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) .” Surah Al-Qasas ayat 15.

Tanpa usul periksa bukan? Terus-terus sahaja ditumbuknya lelaki itu, dan lelaki itu ditakdirkan Allah mati hanya dengan satu tumbukan.

Maka apabila bersama Khidr, kesabaran Musa yang tipis itu diuji. Khidr melakukan tiga perkara yang ketiga-tiganya membuatkan Musa tidak sabar untuk melemparkan soalan bagi menyatakan tidak bersetujunya dia akan perbuatan-perbuatan itu. Hinggakan Khidr akhirnya terpaksa meninggalkan Musa, kerana perjanjian mereka adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa berkenaan tindakan Khidr. Kisah ini tercatat kemas dalam Surah Al-Kahfi.

Di sini, kesabaran Musa terdidik. Bahkan, kesabaran itu tertingkat diasimilasikan dengan peningkatan keimanan. Yakni, walaupun sesuatu perkara itu nampak seperti tidak logik, atau tidak menguntungkan kita, Allah SWT lebih tahu akan kebaikannya bila perkara itu berlaku. Dan mustahil apabila kita mentaati Allah, Allah akan memberikan keburukan kepada kita.

Peningkatan Musa AS ini terbukti, apabila Allah SWT mengarahkan baginda keluar pada waktu malam, membawa Bani Israel melarikan diri daripada Firaun, tetapi akhirnya baginda dilorongkan ke jalan mati – yakni jalannya membawa ke hadapan laut merah.

Bani Israel ketika itu panik. Ada yang mencadangkan untuk menyerah sahaja kepada Firaun. Tetapi Nabi Musa ketika itu, yang telah terdidik dan tertingkat, apakah yang diucapkan pada saat penuh kecemasan ketika itu?

Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Nabi Musa menjawab: Sesekali tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61-62.

Lihat. Jawapan dia yang pertama sekali adalah “Kalla.” Yang membawa maksud: “Sesekali tidak akan berlaku sedemikian!” Nabi Musa itu telah tertingkat. Hingga bila di hadapannya kesukaran, bahkan kesukaran itu nampak sungguh macam tiada jalan keluar(Laut di hadapan, Tentera Firaun di belakang), tetapi dia yang telah memahami bahawa dalam setiap masalah itu, Allah hanya akan memberikan kebaikan, kekal percaya bahawa Allah akan membantunya. Apakah hasil kepercayaan ini?

Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 63-65.

Dan Musa terselamat. Kepayahan yang dilalui sebelum itu, memberikan Musa kekuatan pada hari dia tersekat antara laut dan tentera Firaun. Dan kepayahan tika dia tersekat antara laut dan tentera Firaun, memberikannya pula kekuatan untuk mengharungi perjuangan-perjuangan selepas itu. Tidakkah kita melihat?

Contoh 2: Yusuf AS.

Kita pergi melihat kepada Yusuf AS pula. Baginda adalah antara manusia yang teruji semenjak kecil. Dari kecil dibenci oleh saudara-saudaranya hingga dicampak ke dalam telaga. Allah selamatkan dia dari telaga tersebut. Sedangkan, saat dia berada di dalam telaga, apakah terfikir akannya akan kewujudan bantuan? Nyata bila dia bersabar dan melalui ujian itu dengan tabah, bila dia diselamatkan nyata akan wujud pertambahan kekuatan dalam jiwanya bukan?

Allah tidak meninggalkannya. Nyata dibiar ke dalam telaga itu adalah baik buat seorang Yusuf AS.

Kemudian, apabila dikutip, dan dibesarkan oleh tokoh kebesaran, pemerintah Mesir, dia diuji pula dengan perempuan kepada tokoh itu. Dia digoda. Tetapi lihatlah Yusuf, apakah dia merebahkan dirinya dalam godaan itu? Sesekali tidak. Dia melawannya dengan bersungguh-sungguh. Walau dalam bilik terkunci, dia berlari juga ke muka pintu.

Akhirnya Allah selamatkan dia sekali lagi. Namun perempuan tokoh itu tidak berhenti begitu sahaja, dia cuba pula membawa Yusuf kepada teman-temannya, dan setelah menunjukkan betapa kacaknya Yusuf dan menyalahkan Yusuf atas kekacakan itu, perempuan tokoh itu menawarkan Yusuf sekali lagi dirinya, atau kali ini Yusuf akan dipenjara.

Kali ini, sebagaimana kekuatan yang tertingkat yang diterimanya dari peristiwa telaga, dan peristiwa diselamatkan dalam bilik terkunci, Yusuf dengan yakin memilih penjara.

Namun, segala peningkatan itu, tidak bermakna menjadikan Yusuf sempurna. Di dalam penjara, dia menta’wil mimpi dua rakan penjaranya. Tetapi akhirnya, apabila dua rakan penjaranya dilepaskan, dia tersilap meletakkan tawakkal. Dia yang awalnya memilih penjara sebagai rumah perlindungan hubungannya terhadap Allah SWT, meminta manusia pula untuk mengeluarkannya.

Akhirnya Allah didik Yusuf dengan membuatkan rakan yang dipesannya itu terlupa.

Hinggalah Allah lepaskan Yusuf, dalam peristiwa Tokoh Mesir itu memerlukan seseorang yang boleh menta’wil mimpi. Ketika inilah Yusuf keluar dengan menjadi seseorang yang sekali lagi tertingkat. Kepayahan hidup dalam penjara, memberikannya kekuatan.

Hidup dalam penjara itu nyata baik bagi seorang Yusuf. Mengajarnya banyak lagi perkara. Seakan-akan penyempurna kepada pembinaan seorang Yusuf AS. Lihatlah selepas itu, apakah yang Allah jadikan buat seorang Yusuf AS? Bukankah seorang pemerintah Mesir yang berjaya membawa negaranya selamat mengharungi 7 tahun yang gersang? Bukan mudah bukan? Tetapi Yusuf itu akhirnya berjaya dalam kehidupannya itu, kerana dia telah dibina dengan pelbagai ujian. Maka 7 tahun gersang itu berjaya dihadapinya dengan kegemilangan.

Bukan setakat itu sahaja, 7 tahun yang gersang itu, keperitan itu, juga baik untuk Yusuf, apabila kegersangan itu membuatkan 11 saudaranya terpaksa mengetuk pintu Kerajaan Mesir bagi meminta bantuan makanan, sekaligus mengembalikan Yusuf ke pangkuan keluarganya.

Lihat, bukankah pada keperitan itu, sentiasa ada hikmahnya?

Contoh 3: Muhammad SAW

Kita lihat pula kepada Rasulullah SAW.

Kita amat mengetahui bagaimana baginda ini teruji. Pelbagai cabaran, pelbagai mehnah dan tribulasi. Tidak perlu kita terangkan panjang-panjang. Tetapi apa yang perlu kita lihat adalah bagaimana semua mehnah dan tribulasi itu, memberikan peningkatan terhadap seorang Rasulullah SAW.

Bagaimana Rasulullah SAW ini, meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Allah SWT dalam setiap apa yang berlaku terhadap dirinya. Baginda dilontar batu di Taif hingga cedera, baginda kembali kepada Allah SWT dan percaya. Segala tarbiyah yang Allah berikan baginda di Makkah, dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, baginda tetap percaya kepada Allah SWT, dan percaya. Baginda hingga terpaksa keluar daripada Makkah yang dicintainya, baginda tetap percaya kepada Allah SWT dan percaya.

Hinggalah Allah bayar semua itu, dengan membukakan pintu langit kepada baginda. Menunjukkan ‘kebenaran’ yang selama ini tersingkap daripada mata seorang manusia. Membasuh hati baginda sebersih-bersihnya, dan ‘membuka’ mata baginda seluas-luasnya.

Dan lihatlah, selepas itu bagaimana seorang Rasulullah SAW, yang tatkala sahabatnya di dalam gua kerisauan, baginda dengan tenang menenangkan: “Apakah pandangan kamu Wahai Abu Bakr, kita berdua dan Allah adalah yang ketiganya?”

Dan lihatlah bagaimana baginda selepas itu mengharungi fasa Madinah dengan lebih kuat, dengan lebih bijaksana, dengan kredibiliti yang lebih tinggi. Semuanya hasil peningkatan daripada cabaran-cabaran yang dilalui baginda.

Akhirnya, di akhir usia baginda, seluruh jazirah arab menerima cahaya Islam.

Semua ini terhasil daripada kekuatan, yang selama ini terbina daripada keperitan yang dilalui. Baginda tertingkat. Sahabat-sahabat baginda turut tertingkat. Lihatlah kekuatan keimanan yang ada pada Abu Bakr RA. Lihatlah kekuatan dan ketegasan Umar Al-Khattab RA. Perhatikan sahabat-sahabat yang lain, yang mengharungi perjuangan bersama baginda. Semuanya mengalami peningkatan. Mereka adalah yang lain, daripada mereka semasa di awal keislaman.

Sebab itulah, ketika Allah SWT memujuk Rasulullah SAW dalam Surah Ad-Dhuha, Allah SWT menyatakan:

Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” Surah Ad-Dhuha ayat 4.

Penutup: Maka kita perhatikan diri kita, dan cabaran-cabaran yang Allah SWT berikan.

Maka kita perhatikan diri kita semula. Cabaran-cabaran yang kita lalui. Ya, benar sukar. Ya, benar pedih. Ya, benar pahit. Tetapi lihatlah semula, apakah cabaran-cabaran itu diturunkan kepada kita sekadar sia-sia? Sekadar Allah nak bagi kita susah? Sekadar Allah nak cari fasal dengan kita? Sekadar Allah nak buat kita berputus asa?

Mustahil!

Allah itu tidak akan melakukan terhadap hamba-hambaNya demikian.

Di dalam kesukaran itu ada kekuatan yang sebenarnya Allah hendak binakan dalam diri kita. Diberikan kesusahan itu kerana Dia tahu kita mampu melaluinya, bila kita ‘push’ diri kita naik setahap lagi dalam hendak melangkaui halangan yang diberikan. Kita memang nampak macam tak mampu, tetapi Allah lebih tahu daripada kita sendiri, bahawa kita sebenarnya mampu.

Dalam ujian itulah adanya ‘upgrade’.

Tetapi tidak ramai kita melihatnya. Maka kita tewas. Kita jatuh. Kemudian kita salah-salahkan Allah. Sedangkan yang Allah ingin berikan kepada kita adalah kekuatan. Untuk mempersiapkan diri kita, akan sesuatu yang mungkin lebih besar lagi pada masa akan datang.

Maka di sinilah kita lihat semula kesukaran-kesukaran kita. Muhasabah.

Pasti di dalamnya ada kebaikan. Maka harungilah dengan penuh ketabahan. Bersangka baiklah kepada Allah SWT. InsyaAllah, apabila kita berjaya melaluinya, kita akan melihatnya.


~Hilal Asyraf



..Jangan hingga kesemua pintu itu kamu tutup..


Ada masa kadangkala kita ini melihat diri kita tidak punya harapan. Pelbagai jenis tidak punya harapan yang mungkin kita hadapi. Lain manusia, lain tidak punya harapannya.

Ada orang merasakan, dirinya tidak punya harapan untuk menjadi baik, soleh, bertaqwa dan sebagainya. Setiap kali dia berusaha ke arah kebaikan,dia mesti jatuh. Ataupun, dia menyedari bahawa dia perlu jadi baik adalah apabila dia telah tenggelam dalam lautan kemasiatan, dan kemaksiatan itu telah menjadi darah dagingnya.

Ada orang lain pula, merasakan bahawa dirinya tidak punya harapan untuk bahagia. Dalam hidupnya hanya ada kesusahan. Dari kecil tidak difahami. Asyik dibenci walau telah mencuba yang terbaik. Sering gagal walau telah berusaha. Dan dalam apa jua kerjanya, tindakannya, perjalanan hidupnya, pasti ada dugaan dan cubaan yang membawa derita mengekorinya.

Dan ada macam-macam jenis lagi ‘perasaan tidak punya harapan’ yang wujud pada manusia.

Dan perasaan-perasaan ini biasanya membawa kita kepada ‘penutupan kepercayaan kita kepada Allah SWT’. Kita rasa Allah tidak menyebelahi kita. Kita rasa Allah memang nak masukkan kita dalam neraka. Kita rasa Allah memang telah mentakdirkan kita dengan penderitaan. Kita rasa itu, dan kita rasa ini.

Tetapi guru saya, Dr Ala’ Hilat berpesan:

“Hendaklah kamu, jangan hingga kesemua pintu antara kamu dengan Allah SWT, kamu tutup.”

Kisah Imam Ahmad dan seorang pencuri 1

Dr Ala’ mengeluarkan ayat itu, selepas dia menceritakan kepada kami akan kisah Imam Ahmad ibn Hanbal Rahimahullah, dengan seorang lelaki yang sering mencuri.

Lelaki itu, kerjanya mencuri. Satu hari, Imam Ahmad menangkapnya mencuri di sebuah kedai. Pada hari yang lain, Imam Ahmad menangkapnya lagi di tempat yang lain. Dan pada satu hari yang lain, sekali lagi Imam Ahmad menangkapnya di tempat yang lain. Itu di kala Imam Ahmad terjumpa akan pencuri itu, dan bagaimana agaknya sikap pencuri itu di tempat yang tidak dijumpai Imam Ahmad?

Pastinya dia mencuri lebih banyak lagi, dan tidak pula berhenti dari perbuatannya itu walau telah ditangkap beberapa kali.

Namun pada suatu hari, Imam Ahmad melihat seorang lelaki yang khusyuk solat sebelum masuk waktu Subuh di hadapan Kubur Rasulullah SAW, dalam Masjid Nabawi. Bila diperhatikan dengan lebih teliti, barulah Imam Ahmad perasan bahawa lelaki yang sedang bersolat itu, adalah lelaki yang telah ditangkapinya beberapa kali.

Imam Ahmad agak terkilan dengan apa yang dilihatnya. Dia tahu lelaki itu masih mencuri. Tetapi kini lelaki itu dengan selambanya muncul di kubur Rasulullah SAW. Sedang tempat itu adalah tempat yang mulia.

Imam Ahmad segera mendapatkan lelaki itu selepas lelaki itu menyempurnakan solatnya. Lengan lelaki itu ditarik.

“Wahai Fulan, tidakkah engkau malu kepada Allah dan Rasulullah SAW? Engkau adalah seorang pencuri, dan kini engkau bersolat berdekatan kubur Rasul SAW? Apakah engkau tidak malu berada di tempat semulia ini?”

Lelaki itu menjawab: “Wahai Syeikh, janganlah kau memarahiku. Ya, aku memang pencuri. Dan selepas ini aku pasti akan keluar lagi mencuri. Tetapi wahai Syeikh, inilah dia pintu yang aku masih buka untuk Allah SWT. Aku telah menutup semua pintu yang lain Syeikh. Tetapi pintu ini, aku masih membukanya. Aku berharap, moga-moga nanti, dari pintu inilah aku keluar daripada kehidupanku yang sebegini.”

Imam Ahmad terdiam. Lantas, membiarkan lelaki tersebut.

Yang dimaksudkan oleh lelaki itu amat difahaminya. Lelaki itu tidak boleh tidak mencuri. Itu seakan-akan telah menjadi darah dagingnya. Lelaki itu telah berputus asa untuk berhenti mencuri. Dia telah berputus asa untuk menjadi seorang yang baik. Tetapi dia tetap membuka sebuah pintu, yakni amalannya itu, solat sebelum subuh di hadapan Kubur Rasulullah SAW. Dia kekal melaksanakan amalannya itu, walaupun dia telah berhenti melaksanakan perkara-perkara lain. Dia masih membuka sedikit ruang, untuk percaya bahawa dia masih punya harapan.

Kisah Imam Ahmad dan seorang pencuri 2

Selepas beberapa tahun berlalu, Imam Ahmad tidak lagi melihat lelaki itu. Juga tidak lagi menjumpainya mencuri. Dan apabila tiba satu musim Haji, Imam Ahmad pun berangkat ke Makkah.

Di Makkah, dia perasan akan seseorang yang sedang berada di bawah lembayung Kaabah. Meratap dan menangis hiba sehiba-hibanya. Wajah orang itu pucat, dan tubuhnya kurus. Namun wajah itu seakan punya nur. Mata lelaki itu kelihatan agak kehitaman tanda banyaknya tangisan.

Imam Ahmad tertarik dengan kesungguhan lelaki itu, lantas mendekatinya.

Alangkah terkejutnya, apabila dia rupanya mengenali lelaki itu.

“Wahai fulan, bukankah engkau pencuri yang meninggalkan satu pintu antara dia dan Allah terbuka?”

Lelaki itu memandang Imam Ahmad. “Ya, wahai Syeikh. Akulah orang itu. Dan daripada satu pintu yang belum aku tutup itu, Allah keluarkan aku, menjadi aku yang hari ini.”

Dan Imam Ahmad Ibn Hanbal hanya mampu memuji Allah SWT akan apa yang diperhatikannya.


Allah itu, Maha Besar.

Dr Ala’ selepas menceritakan kisah itu, berkata kepada kami:

“Allah itu Maha Besar. Dia tidak sekecil kita yang diciptaNya. Allah itu Maha Besar, hingga dosa-dosa yang kita lakukan ini Dia mampu berikan masa. Sebab Dia terlalu besar untuk rasa terhina dengan dosa-dosa kita. Dia tidak terus mengazab kita. Lihatlah kaum-kaum sebelum kita, Allah menghantar terlebih dahulu Rasul. Maka percayalah bahawa Allah itu tidak sesekali meninggalkan kita. Percayalah bahawa Allah itu tidak akan sesekali menzalimi kita. Yang sebenarnya berlaku adalah, kita yang tidak mampu mencapai hakikat kebesaran Allah SWT yang sedang berjalan ke atas kita.”

Dr Ala’ menyatakan bahawa, kita tidak pernah tahu apa yang Allah inginkan daripada kita. Bila Allah berikan kita ujian, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan menurunkan ujian itu. Bila Allah berikan kita penderitaan, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan penderitaan itu. Bila Allah berikan kita kesukaran, halangan, cabaran, kesakitan, kita tidak pernah tahu apakah yang Allah inginkan daripada kita dengan semua itu.

Tetapi kita sepatutnya tahu bahawa, Allah itu tidak menginginkan sesuatu, melainkan hanya kebaikan untuk hamba-hambaNya.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu).” Surah An-Nisa’ ayat 40.

“Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.” Surah Ali-Imran ayat 108.

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Dia(Allah) berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain…” Hadith riwayat Muslim.(terdapat juga di dalam Hadith 40 An-Nawawi).

Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Mustahil.

Tinggal kita melihat Allah sebagai zalim, sebagai tidak memerhatikan, sebagai meninggalkan kita, kerana kita adalah ‘manusia’. Makhluk. Tidak mampu mencapai dan memahami ‘Maha Besar’ Allah itu.

Penutup: Kekalkanlah kepercayaan, walaupun sedikit. Yakinlah.

Maka akhirnya Dr Ala’ berpesan:

“Hendaklah kamu, jangan hingga kesemua pintu antara kamu dengan Allah SWT, kamu tutup.”

Percayalah. Walaupun seperti menelan pasir peritnya. Bersabarlah. Walaupun seperti sedang berada di atas bara api penderitaannya. Dan walau apa pun yang terjadi, walaupun kita sudah terjatuh dalam gaung yang terdalam sekali dalam berputus asa kepada Allah SWT, dalam bermaksiat kepada Allah SWT, kekalkanlah walau secebis kepercayaan yang kita mampu.

Moga-moga daripada pintu kita yang masih kita buka itulah, Allah akan keluarkan kita daripada segala penderitaan, daripada segala masalah, daripada segala mehnah dan tribulasi, daripada kesedihan, daripada maksiat, daripada kejatuhan, daripada keingkaran yang kita lakukan dan hadapi.

Sebab Allah itu Maha Besar.

Dan mustahil dengan kebesaranNya itu, Dia meninggalkan kita atau menzalimi kita.

…Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janjiNya.” Surah Az-Zumar ayat 20.


..Kenapa wanita mengalirkan airmata..


Itulah kenapa perasaan seorang wanita sangat peka. Allah menciptakannya dengan 9 perasaan dan 1 akal, maka mereka selalu mengutamakan perasaannya ketika ia hadapi sebuah permasalahan.

Tak hairanlah ketika perasaannya sedang sebak, air matanya pun mengalir. Bukan kerana dia lemah, tapi dengan air mata itulah ia meluahkan segala rasa yang ada didadanya beban kehidupannya dan permasalahan yang dihadapinya

Kenapa Allah menciptakan wanita begitu istimewa? Wanita diberikan sebuah bahu yang begitu kukuh menahan beban dunia dan isinya, dan dia jadikan bahu itu begitu nyaman dan menenangkan, ketika dia harus menopang kepala bayi yang sedang tertidur.

Allah menciptakan wanita dengan kekuatan untuk bertahan, ketika yang lain menyerah dan putus asa pada keadaan kerana mereka yakin akan sebuah harapan.

Diciptakannya mereka begitu sabar menghadapi cercaan dari bayi yang dilahirkannya dari rahim

Allah memberikan mereka kesabaran untuk selalu memberikan perhatian dan kasih sayang pada keluargannya walaupun dirinya letih, mereka tetap berjuang tanpa kenal lelah dan kadangkala menahan sakit namun mereka tidak pernah berkeluh kesah.

Cinta yang diberikan kepada putera puterinya tidak terbatas. Dia hanya tulus memberi dan tidak pernah mengharap kembali.. walau kadangkala dia disakiti dan dicaci maki namun setiap saat dan keadaannya dia begitu beerti tidak pernah sakit hati walau hatinya sering kali dilukai.

Wanita sebagai semangat dan kekuatan untuk membimbing suami ketika masa sulit yang dihadapinya bukankah wanita dicipta dari tulang rusuk lelaki. Bukankah tugas sebuah tulang rusuk adalah untuk melindungi jantung dan hati agar ia selalu selamat dan tak tercedera?

Satu kekhususan yang Allah berikan pada wanita, AIR MATA. kerana dengan air mata wanita boleh menumpahkan perasaannya bila mereka memerlukannya. Bukan sebuah kelemahan ketika wanita menangis tapi air mata itu adalah sebuah air mata kehidupan.

Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”. ((Al-Hadith)

Oleh kerana itulah wahai ikhwan jadikan jangan kau siakan wanita. Ingatlah kau juga dilahirkan dari rahim ibumu yang juga seorang wanita, jika kau melukai hati wanita itu sama halnya kau lukai hati ibumu.

Jadi, lelaki dan wanita ada kelebihan dan kekurangan.Itulah sebab kita di jadikan supaya dapat melengkapi antara satu sama lain. Segala amalan yg kita lakukan tetap akan di balas walau sebesar zarah.



Sumber: Kenapa Wanita Mengalirkan Air Mata? | Paradigma MUKMIN



..Kita bertemu orang yang salah?..


Terkadang kita terfikir :

Adakah kita bertemu dengan orang yang salah?

Teman sekerja yang tak 'ngam'?

Kawan - kawan sekolah atau universiti yang tidak boleh nak buat geng study?

Housemate yang menyakitkan hati (sebab tak pandai membasuh pinggan, bercakap menggunakan kata-kata yang pedas, dan sebagainya) ?

Ataupun kekasih yang tiba-tiba dirasakan tak serasi?

(atau mungkin juga adik beradik, keluarga yang kita tidak boleh fahami perangai mereka?)

((ingat, entry ini bukan hanya untuk cinta-cinta sahaja, okey?))

Kerana hakikatnya, kita akan bertemu dengan ramainya manusia yang menjengkelkan hati kita, dan sangat sukar untuk kita bersama dengan mereka.

Pelbagai ragam dan karenah manusia yang dapat kita temui di dunia ini.

Kerana berlainannya manusia itu adalah untuk apa .....


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." - [Al Hujurat: 13]

Untuk lita'arafu..

Untuk berkenalan. Untuk mengetahui, memaknai manusia lain.

Untuk menyedari betapa beruntungnya kita, mahupun rendahnya kita berbanding manusia lain.

Untuk kita sering berlumba-lumba menggapai taqwa tanpa membeza-bezakan manusia lain.

Namun, tentu kita akan bertemu dengan manusia yang tidak serasi dengan kita serta berlainan segalanya.

Sehingga sekecil-kecil perbezaan kita menjadi besar dan dijadikan hujah untuk menjauhkan diri, apatah lagi terkadang sehingga memutuskan silaturrahim.

Walaupun diri kita dengan dia, satu aqidah, satu kefahaman dan satu cinta pada Allah..

Dan kita bertanya, mengapa diri kita dan dia, begitu jauh sekali?

Di situlah, kita kena sentiasa berusaha untuk mencari titik persamaan...

Kita takkan pernah bertemu dengan orang yang salah.

Takkan!

Kerana Allah telah menakdirkan setiap saat dan inci dalam kehidupan kita.

Setiap takdir itu merupakan satu ketetapan Allah buat kita, merupakan sesuatu yang terbaik buat kita.

Dan setiap manusia yang kita temui itu, tentu memberikan makna sesuatu pada kita.

Walaupun banyaknya kejengkelan hati kita pada dia.

Namun, tentu sebenarnya mereka yang 'salah' itu sendiri banyak mengajar kita: 'akan kekurangan diri kita sendiri.'

Bukankah seorang musuh itu terkadang lebih jujur daripada seorang sahabat sejati, yang dipetik dari kata-kata hikmah Arab.

Setiap jodoh dan pertemuan tentunya telah ditetapkan oleh Allah,

Untuk kita belajar sesuatu darinya.

Tak pernah kita bertemu dengan orang yang salah ... semua yang kita temui adalah stesen-stesen perhentian untuk mengutip hikmah, buat bekalan di dalam perjalanan.

Percayalah, kadang-kadang di awal pertemuan akan banyak berlaku perkelahian, salah faham dan ketidak seragaman.

Namun masa akan mengambil alih, memberi peluang makna kefahaman masuk ke dalam jiwa kita yang jernih.

Kerana kita pada hakikatnya, punya hati yang satu, matlamat yang satu, dan tentu cinta yang satu, hanya kepada Allah.

Ikatan hati manakah lagi yang paling kuat selain dari Allah?

Kerana itu, di setiap perselisihan, mahupun ke tidak serasian, kembalilah semula kepada apa yang akan dapat menyatukan kita.

Itulah dia Allah.

Kerana dihitung perbezaan-bezaan, memang akan semakin menjadikan hati kita jauh.

Namun, those does not matter, sebab Allah sahaja yang membinakan hati kita Insya-Allah.

And He Knows best.

Wallahua'lam.



Bersabar, dan teruslah berdoa. Allah itu pasti menetapkan sesuatu yang terbaik buat kita, jika kita benar-benar yakin akan Dia..


~artikel i luv islam.






..I love when you called me Nusrah..


Ok really! seriously! I can't wait to write down at least one entry! argh, gian sangat nak tulis blog. Hehe should I say this entry is dedicated for my 'hero'? haha! Never mind, just read this!


10 Things I hate about you!


1. I hate when you ask me, 'dah lama tunggu'?

2. I hate when you say to me, 'Thank you!'

3. I hate the way you smiling to others but not to me!

4. I hate when people keep talking about you.

5. I hate the way you laugh to me.

6. I hate the way you advise me.

7. I hate when you are in red shirt!

8. I hate when you seriously working without considering others.

9. I hate when you being polite to me.

10. But the most important is, I hate when you called me, 'Nusrah'!


Ok. Enough. Full stop.
The truth is, what I have mentioned above is NOT true! hahahaha

I hate all those thing just because I love the way you are.Honestly!

I love when you being polite.
I love when you say Thank You.
I love when you called my name.
Yeah, it's true!

I love when you called me 'Nusrah'!

Ok DONE!


nusrah walfath: agak2 post ni jadi kontroversi tak? haha! ok tak kisah pun. I know what I'm trying to say though some of you might think that it is nonsense! haha. The most important, this post of coz bukan tuju kat korang yang membaca. Ia untuk orang yang tak baca blog ni. hahaha!




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...