Salam maal hijrah.
Awal Muharam.
1434 Hijrah.
Tahun baru. Umur sudah meningkat. Bertambahnya usia seiring dengan kalendar Islam :)
Tiada apa yang menarik. Cuma ada sedikit perkongsian dari saya. Satu cerita ketika saya mencari-cari makna sebenar tudung. Erti sebenar menutup aurat. Kadang-kadang kita tak tahu pun kenapa kita pakai tudung. Maybe sebab emak suruh sejak kecil lagi. Maybe sebab tengok kawan-kawan pakai. Semua tu mungkin ada dalam benak kita.
Dulu, masa saya sekolah rendah, kakak saya bersekolah menengah. Kakak saya ni sekolah Maahad. Masa tu dia suka bercerita macam-macam dekat saya. Sehinggalah saya naik sekolah menengah. Dan saya bukan bersekolah aliran agama. Masa tu, apa yang saya faham, beza sekolah agama dengan sekolah biasa ni adalah dari segi pakaian. Bezanya juga dari segi matapelajaran. Budak sekolah agama sahaja yang pakai tudung labuh. Itu yang saya faham.
Tambahan lagi, masa saya form 4, saya bersekolah di aliran teknikal. Boleh dikatakan majoriti pelajar sekolah ni bertudung labuh. Sangat ramai. Rupanya mereka ini budak-budak Maahad, budak-budak aliran agama sebelum ini. Disebabkan majoritinya daripada budaya sekolah agama, sekolah teknik kami juga dididik seperti budak sekolah agama sedikit sebanyak. Alhamdulillah, di sini lah bermulanya perubahan dalam diri saya. Kat sini banyak perkara yang saya belajar. Di sini, bermulanya kumpulan usrah. Ada tadarus al-Quran (walaupun kekadang ia depends kepada students sendiri). Dan di sini juga saya dikurniakan kawan-kawan yang terlalu baik. Sangat indah memori saya di sekolah ini.
Tamat SPM, saya sambung belajar dalam bidang Diploma. Di sini, lagi bermacam-macam perkara yang saya belajar. Mungkin kerana budaya di sini yang "Islamic", saya sendiri mula melabuhkan tudung. Semuanya kerana budaya. Dan hampir tamat diploma, terima pula tawaran sambung belajar ke luar negara. Lama juga saya berfikir dan akhirnya saya memilih Malaysia.
Setelah itu, saya sempat bekerja sekejap sebelum masuk UIAM. Di sini, iman saya di uji. Saya dah tak lekat dengan stoking, handsock, tudung pun atas dada. Saya adalah anak muda yang berpakaian sama seperti anak-anak muda di luar sana. Bezanya, cuma saya ini tidak pernah pakai baju ketat-ketat macam tu. Sehinggalah sampai pada satu kemuncak pada Ramadhan 3 tahun yang lalu. Sedang saya mengaji al-Quran, tiba-tiba saya rasa hati saya bagaikan di sentuh. Saya rasa mahu berubah. Namun, saya tidak tahu bagaimana. Puas saya berfikir. Saya tidak tahu bagaimana mahu memulakan perubahan terhadap diri saya.
Sampai saatnya saya masuk UIAM. Di sini, saya banyak membaca artikel, dan kisah-kisah menarik. Di sini, saya dikurniakan sahabat yang baik-baik. Di sinilah bermulanya pencarian saya. Merata-rata saya tanya orang apa beza tudung labuh dengan tudung biasa. Kerana pada pendapat saya, tudung biasa dah ok asalkan menutup dada. Dalam saya mencari jawapan, tiada seorang pun yang mampu menjawab soalan saya. Tiada siapa pun yang mampu jawab kenapa mereka bertudung labuh. Dan saya kecewa dalam mencari jawapan.
Sampai satu hari, ada seorang teman ajak saya masuk usrah. Mula-mula saya taknak. Saya takut. Akhirnya dia menerangkan dengan baik berkenaan usrah. Alhamdulillah lama kelamaan saya dapat merasakan nikmatnya berusrah. Sangat indah. Saya mengenal banyak perkara. Baru saya tahu tudung labuh itu bukan untuk budak yang pergi belajar bidang agama sahaja. Al-Quran, solat sunat, puasa sunat, itu perlu juga dilakukan selalu sebagai salah satu jalan untuk kita memelihara iman kita. Alhamdulillah akhirnya, saya jumpa sesuatu dalam usrah ini.
Dan kenangan pada suatu malam ini tidak saya lupakan. Selesai terawih, ketika siapkan kerja-kerja convest'11, saya terbaca satu artikel. Ketika itu hangat berbicara tentang isu tudung. Saya baca dari satu artikel ke satu artikel. Entah berapa banyak yang saya baca pada malam itu yang akhirnya buat saya menangis sendiri. Kuasa Allah jua yang menyentuh hati ini. Mungkin bagi sesetengah orang, artikel itu biasa-biasa sahaja tapi tidak bagi saya. Ia sangat menggegarkan jiwa saya.
Cuti Ramadhan kali tu, saya pulang ke kampung sangat awal. Saya ambil masa tenangkan hati dan mencari hidayah-Nya. Saya ambil peluang ikut atuk nenek ke masjid. Saya ambil peluang dengar ceramah dekat masjid dari pakcik-pakcik dekat kampung sana. Indah. Tenang. Walaupun di masjid tersebut saya di kelilingi orang-orang tua, tetapi hati saya rasa damai. Saya tenang dengan suasana tu. Tambahan lagi, saya dah putuskan connection dari sms, call dan fb buat masa tu.
Akhirnya, malam 27 Ramadhan 1432H, saya nekad untuk berubah. Saya mula pakai tudung labuh yang telah saya beli beberapa hari selepas tiba di kampung. Saya rasa suka. Tenang sungguh saya rasa dalam tudung labuh ni. Dan sepanjang itu juga, tak putus-putus saya berdoa supaya Allah tetapkan hati saya. Supaya saya sentiasa istiqamah. Supaya saya tahan dengan godaan dunia. Supaya saya kuat hadapi cabaran sekembalinya saya ke UIAM nanti.
Tamat sahaja cuti, balik sahaja UIAM, semua orang terkejut. Ramai kawan yang melopong tengok. Ramai yang gembira, tak kurang juga yang mengejek. Ada juga yang perli. Saya tahankan hati sahaja. Sebab saya tahu Allah ada bersama saya. Nak berubah ni memang bukan benda senang. Susah, kan? Tapi bila kita meletakkan segalanya kerana Allah, tiada apa pun yang dapat melemahkan semangat kita. Seorang roomate saya, sampai menangis tengok saya berubah. Airmatanya itu terlalu mahal bagi saya.
Sebenarnya, setelah kita berubah, memang terlalu banyak dugaan dan cabaran. Sangat banyak. Apatah lagi bila ramai yang kenal kita dengan diri yang baru, yang mana tak tahu pun kita dulu-dulu macam mana. Nasihat saya, carilah Allah dalam setiap apa yang kita lakukan. Jangan buat sesuatu kerana manusia. Suka untuk saya quote yang ini, yang mana saya pernah share dekat facebook;
"Kepada yang selalu mengajukan soalan kepada saya, "macam mana nak dapat kekuatan untuk berubah?" Jawapan saya senang sahaja, cari Allah. Berubah Lillahi ta'ala, kerana Allah, kerana Dia lah sumber kekuatan kita. Bilamana kita rasakan dunia sedang mengejek kita kerana berlawanan arus dalam lorong 'one way' nya, muhasabah diri, tanya pada hati, kita hidup untuk Allah atau untuk dunia?
Kalau berubah ikut fitrah itu asing di dunia sekarang, percayalah Allah bersama-sama dengan kita yang asing ini, kerana yang menciptakan fitrah kita itu kan Allah, bukan dunia. Daripada Abu Hurairah r.a., "Islam mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali dagang asing. Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya asing”. [HR Muslim]
Dan saya masih ingat kata-kata seorang teman convest'11 ketika rehearsal program Serumpun. Katanya; "tahniah atas perubahan. Semoga terus istiqamah. Dan tambahkan lah ilmu. Biarlah ilmu juga bertambah seiring dengan perubahan". Sampai sekarang saya ingat pesan dia. Dan saya bersetuju. Banyak sangat perkara yang saya masih cuba untuk belajar dan untuk tahu. Sebab saya ni banyak sahaja kurangnya. Saya ini banyak juga yang tidak tahu itu ini.
Di penghujung kalam bicara, saya cuma ada beberapa perkara yang nak ditekankan berkenaan tudung labuh ini. Bertudung labuh tidak pernah membawa maksud kita alim, kita baik, kita hebat, kita confirm masuk syurga. Itu semua bukan maksudnya. Bertudung labuh ini adalah salah satu jalan memelihara diri dan maruah. Jalan untuk memelihara akhlaq. Jalan untuk selamatkan diri daripada fitnah duniawi. Dan jika ada yang bertudung labuh itu bermasalah, jangan disalahkan akan tudungnya. Kerana yang menjadi begitu begini bukan tudungnya tetapi orangnya.
Mungkin lain kali saya akan menyambung bercerita berkenaan cabaran bertudung labuh yang memang agak susah juga saya nak hadapi pada mulanya. Ingat satu perkara, aurat kita bukan sekadar kulit, tetapi juga bentuk tubuh. Bertudung labuh adalah salah satu cara untuk menutup bentuk tubuh dengan lebih sempurna. Dan semoga ianya mendekatkan lagi diri kita dengan Allah. InshaAllah.
Buat yang bertudung labuh, jangan di pandang jelik akan yang tidak menutup aurat. Sebaliknya, tariklah dia bersama kita, bimbinglah dia ke jalan-Nya. Doakan lah dia supaya Allah berikan hidayah. Kerana mereka saudara seislam kita.
Buat yang bertudung biasa, boleh belajar berubah perlahan-lahan. Tiada salahnya mahu bertudung biasa atau pakai shawl, tapi biarlah mengikut syara'. Tutup dada, leher dan jangan pula ada jambul ye. Rugi pula kalau bertudung tapi tak ikut apa yang Islam gariskan.
Dan buat rakan-rakan, sahabat-sahabat, doakan lah semoga saya terus istiqamah di jalan ini. Doakan kaum muslimat yang lain juga terus istiqamah dan dikurniakan hidayah. Hijrah itu bukan sekadar berubah dari jahat kepada baik, tetapi juga dari baik kepada lebih baik. Mudah-mudahan, inshaAllah. Hari tu, tudung saya semua berbasuh, masa tu terfikir macam mana nak turun ke kafe. Terfikir nak pakai tudung saji je. Sebab pakai tudung tak wajib tapi tutup aurat itu yang wajib. Dalam membayangi saya pakai tudung saji tu, saya tergelak. Mana boleh pakai tudung saji sebab nanti nampak leher, tak cover dada. Still tak tutup aurat, kan? :)
Saya juga ada buat video tentang hijrah tudung labuh ni beberapa hari yang lalu. Video ini biasa sahaja kerana saya bukan lah pandai sangat pun nak buat video ni. Tapi harapnya bermanfaat untuk semua. ^^
Semoga Allah redha.
Everyone has their own past. And the past is not to be judged, but to be learned.
~ I drop du'as. Not bombs ~
No comments:
Post a Comment