إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

..Maafkanlah..


Mari kita cakap fasal memaafkan orang lain lebih sikit. Saya sukalah pula bab ini. Untuk pujuk-pujuk diri juga. Merawat hati yang berlubang ini.

Hari ini, saya sekadar hendak memberikan contoh terbaik di dalam hal ini.

Lihatlah dia.

Dan lepaskanlah kemarahan kamu.

Dia - Rasulullah SAW. Lihatlah.

Siapa yang tidak kenal akan Abu Jahal dan sengeketanya terhadap Rasulullah SAW. Abu Jahal pernah mencampak perut unta pada tengkuk baginda saat Rasulullah SAW sedang sujud di sekitar Ka’bah. Hingga Fatimah RH menangis melihat keadaan Rasulullah SAW.

Tetapi Rasulullah SAW pada suatu hari, pernah berdoa kepada Allah SWT:

“Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan islamnya salah satu dari kedua hambaMu ini, Umar Al-Khattab dan Amru ibn Hisyam(nama sebenar Abu Jahal)”

Mengapa masih didoakan Abu Jahal?

Siapa yang tidak tahu akan tindakan Kaum Taif kepada Rasulullah SAW. Hingga pecah kaki baginda berdarah dibaling batu tanpa belas kasihan oleh penduduk tempat itu.

Tetapi apakah yang Rasulullah buat ketika peluang menghapuskan kaum itu tiba?

“Jangan. Moga-moga dari tulang sulbi mereka nanti, akan muncul manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT.”

Mengapa masih didoakan mereka dengan kebaikan?

Ketika kepala baginda dihentam batu saat kaum musyrikin Makkah bersungguh-sungguh menyambar peluang untuk membunuh baginda di medan Uhud, hingga menyebabkan darah baginda tumpah mengalir.

Tetapi apakah yang baginda sebutkan pada saat yang menyakitkan itu?

“Ya Allah, ampunilah ummatku ini, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui.”

Satu hari, Thufail bin Amr RA datang kepada Rasulullah SAW dan memberitahu bahawa kaumnya, Bani Daus tidak mahu beriman kepada Rasulullah SAW walaupun sudah sekitar 3-4 tahun di dakwah.

Tetapi apakah yang baginda sebutkan?

Baginda mengangkat kedua tangan baginda dan berdoa: “Allahumahdi dausan. Allahumahdi dausan.” bermaksud: Ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus, ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus.

Pada suatu hari, jiran baginda, seorang yahudi yang keras membenci baginda, menabur duri pada jalan baginda, kuat menghina baginda, jatuh sakit.

Apakah yang baginda lakukan? Adakah baginda bergembira dengan penderitaannya?

Baginda berizarah, bahkan membantu mempermudahkan urusan yahudi tersebut.

Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq, yang sering memfitnah baginda, membenci baginda, menikam belakang tubuh baginda(khianat) dan amat keras permusuhannya dengan baginda serta sering menyukarkan baginda.

Orang ini, pada hari kematiannya, apakah yang Rasulullah SAW lakukan?

Baginda mendoakannya. Hingga Allah menegur Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa kalau Rasulullah SAW mendoakan Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini 70 kali sekalipun, tetap Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini tempatnya di neraka.

Apakah yang Rasulullah SAW lakukan apabila mendengar teguran itu?

“Maka aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali.”

Hingga Allah menegur baginda sekali lagi, dengan tegas menyatakan, berapa banyak kali pun doa baginda, Abdullah ibn Ubai ibn Salul tetap di neraka.

Saat baginda berjaya menawan Makkah, kembali kepada mereka yang selama ini mneyeksa baginda, berada di atas mereka yang selama ini memerangi baginda, semua yang ada di Makkah risau dengan apakah keputusan Rasulullah SAW terhadap mereka kerana teringat segala kesalahan mereka kepada Rasulullah SAW.

Tetapi apakah yang baginda lakukan saat itu?

“Sesungguhnya pada hari ini, kamu semua tidak akan diapa-apakan. Aku ampunkan kalian.”


Bagaimanakah kamu wahai yang mengakui dirinya cinta kepada Rasulullah?


Bagaimanakah kita wahai orang-orang yang mengakui bahawa dirinya mencintai Rasulullah SAW?

Tidakkah kita melihat apakah yang ditunjukkan oleh baginda?

Memang. Sedih dan bengang, marah dan kecewa bukan benda yang senang kita lupakan. Bukan mudah untuk kita hilangkan.

Tetapi kita mulakan dengan step pertama.

Memaafkan. Memaafkan dengan dada yang lapang.

InsyaAllah yang lain akan datang kemudian. Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita insyaAllah. Pasti.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…” Surah Ali-Imran ayat 159.



Cukuplah segala kebencian ini, sengketa ini. Jadilah orang yang memulakan kebaikan.

Dia tikam kamu. Kamu tikam dia semula. Dia tikam kamu lagi. Kamu balas balik. Kawan kamu marah dia tikam kamu. Kawan dia pula marah bila tengok kamu tikam dia balik. Kawan dia tikam kamu. Kawan kamu tikam dia. Kawan dia tikam kawan kamu. Kawan kamu tikam kawan dia.

Siapa yang suka benda ini?

Cukuplah semua ini. Tidakkah kita merasakan ‘kehitaman’ jiwa kita di dalam hal ini?

Janganlah. Biarlah orang lain tidak peduli dengan kehitaman jiwa mereka. Biarlah orang lain tidak peduli dengan ‘dosa-dosa’ seperti menghina, memfitnah, buat spekulasi yang bukan-bukan, mengumpat dan sebagainya. Biarlah dan biarlah. Tetapi kita tidak sekali demikian. Jangan jadi demikian.

Mengapa melemparkan diri sendiri ke neraka?

Tidakkah kita ini manusia-manusia yang inginkan keredhaan Allah dan mempercayai janji-janjiNya?


Penutup: Lapangkanlah jiwa. Tenangkanlah hati.

Kunci kelapangan jiwa dan ketenangan hati adalah di dalam roh kita ini tiada kebencian terhadap orang lain. Dan ia adalah salah satu dari kunci-kunci syurga.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama. Tiba-tiba baginda bersabda: “Akan datang selepas ini seorang ahli syurga.” Maka muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya lagi juga sama. Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama.

Akhirnya seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu, dan tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya. Selama tiga hari, sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang hebat, yang besar,yang menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya tidur di rumah lelaki itu.

Lelaki itu menjawab: “Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang menakjubkan. Biasa-biasa sahaja.”

Sambung lelaki itu: “Tetapi di dalam hatiku tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku.”

Tidakkah kita memerhatikan?

Lepaskanlah kebencian, kesakitan hati, kemarahan diri.

Maafkanlah.

Maafkanlah.

Lapangkanlah jiwa, tenangkanlah hati.


~Hilal Asyraf



..Kekosongan di dalam hati..


Di dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi.

Semua kita merasakan kekosongannya. Ruang itu sunyi. Dan kita takut dengan kesunyian yang ada di dalam ruang itu.

Akhirnya kita mula mencari sesuatu untuk mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang mencarinya dengan memanjat gunung dan menyelam ke dasar laut, ada yang berusaha mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan cara menggembirakan orang lain.

Tetapi akhirnya semua itu ibarat berpusing di dalam bulatan.

Rasa kosong itu tetap tidak terisi. Kita rasa takut dengan kekosongan itu.

Maka apakah kekosongan itu? Dengan apakah kita patut mengisinya?

Itulah dia ruang khas untuk Ilahi. Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan padanya. Itulah dia ketundukan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepadaNya.


Kesedaran bahawa pergantungan kita adalah rapuh

Kita isi hidup kita dengan pelbagai pengisian. Kita bergantung dengan pelbagai pergantungan. Kita harap kasih sayang insan itu akan berkekalan. Kita damba kebahagiaan kita akan berterusan.

Tetapi sebagai manusia yang berfikir, kita akan terfikir, sejauh manakah kesenangan kita akan berkekalan? Selama manakah keamanan yang ada pada kita akan berterusan?

Apakah selepas kematian orang yang memberikan kasih sayang kepada kita, kita akan dapat meneruskan kebahagiaan ini seperti biasa? Apakah harta ini akan dapat memuaskan kita selama-lama?

Akhirnya kita akan melihat, ada 1001 kemungkinan di dalam perjalanan hidup kita di atas dunia ini, yang mampu membawa kita kepada kesengsaraan.

Kemalangan, tragedi, musibah, dugaan, kematian, semuanya adalah boleh terjadi, dan lantas kita sedar bahawa kita adalah sangat lemah. Tidak berkuasa. Tidak mampu berbuat apa-apa sebenarnya.

Di sinilah kita melihat kerapuhan.

Dan takut pun muncul.

Gerun dengan hari esok tanpa pergantungan yang utuh.



Allah adalah yang terampuh

Di sinilah akhirnya kita melihat, kekosongan itu hanya akan terisi apabila kita mendekat dengan Ilahi. Apabila kita mengadu kepadaNya. Apabila kita berharap kepadaNya. Apabila kita meminta kepadaNya. Apabila kita bernaung di bawahNya. Apabila kita melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Sebab kita yakin bahawa, Allah adalah yang terampuh.

Dia yang menciptakan kita. Dia yang memberikan kita bahagia dan sengsara. Dia yang menyusun atur seluruh alam ini. Dia yang menciptakan semuanya. Dia yang Maha Tahu, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-gala.

Tiada yang mampu menandingiNya.

Hatta kehebatan mentari juga dalam kekuasaanNya.

Hatta keindahan bulan juga dalam genggamanNya.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”. Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?” Surah Al-An’am ayat 74-80.



Dengan Allah, kekosongan itu terisi

Dengan mendekati Ilahi, kekosongan di dalam hati yang amat misteri itu terisi. Rasa takut hilang. Rasa gundah sirna. Rasa gelisah musnah. Rasa resah punah.

Yang ada hanyalah ketenangan.

Ketenangan yang ditunjukkan Bilal bin Rabah RA saat batu menghempap atas dadanya.

Ketenangan yang ditunjukkan Suhaib Ar-Rumy RA saat mengorbankan seluruh hartanya.

Ketenangan yang ditunjukkan Bara’ bin Malik RA saat dia melemparkan dirinya ke kubu musuh.

Ketenangan yang ditunjukkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas saat dia ingin merentas sungai yang besar dan dalam.

Ketenangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, saat dia hanya berdua bersama Abu Bakr di dalam Gua Tsur.

Hingga ke tahap nyawa di hujung tanduk, ketenangan itu tetap wujud sebagai mana yang ditunjukkan oleh Khubaib ibn ‘Adi RA, saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga apa yang ditunjukkan oleh Ali ibn Abi Talib RA saat dia menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW.

Apatah lagi sekadar kehidupan kita.

Ketenangan, rasa selamat, rasa bahagia, rasa aman yang abadi ini, yang terwujud walau saat kesukaran dan kegelisahan yang tinggi ini, hanya akan didapati apabila merapat dengan Ilahi. Inilah hakikatnya yang kita cari-cari.

Dan pada Ilahi adalah tempat untuk kita menuntutnya kini.



Penutup: Kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian

Maka dekatilah Allah. Bukan semata-mata di dalam solat dan ibadah kita di masjid, bukan semata-mata di dalam qiam kita di tengah malam. Tetapi juga di tengah pejabat kita, di meja makan kita, di rumah kita, di tengah tempat belajar kita, di tengah padang permainan kita, di taman-taman rekreasi kita.

Mendekati Allah, tunduk kepadaNya, sepanjang masa. Ketika.

Kehidupan kita sendiri, kita bina atas apa yang diredhaiNya.

Dan kita telah lihat manusia-manusia yang telah berlalu sebelum kita, yang melakukan perkara yang sama(yakni mendekati Allah, tunduk kepadaNya sepanjang masa), apa yang mereka perolehi di dunia, dan apa yang mereka akan perolehi di akhirat.

“Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! - Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “ Surah Al-Fajr ayat 27-30


Tidakkah kita melihat, ini jawapan kepada ‘kekosongan’ itu?

Maka apakah yang patut kita lakukan sekarang?


~Hilal Asyraf



*berfikir jauh merentasi akhirat*



..Membina ukhuwwah atas keimanan - TARBIYAH..


Sebenarnya saya selalu juga dikecam gara-gara artikel saya nak ke syurga bersamanya. Saya tertanya-tanya di mana silapnya penulisan saya sehinggakan macam-macam yang dilontar pada saya. Salahkah saya sebagai manusia ingin ke syurga? Salahkah saya sebagai seorang sahabat, nak ke syurga bersamanya? Lama juga saya berfikir dan berfikir sehingga saya baca perkongsian dari Hilal Asyraf. Mungkin anda boleh duduk diam-diam dengan tenang dan baca betul-betul semua ni.~~

Selama saya menerangkan perihal ukhuwwah atas keimanan, ramai yang bertanya bagaimana hendak membina ukhuwwah yang sedemikian. Akhirnya saya sendiri terkesima. Ya, macam mana ya?

Saya sendiri tertanya-tanya. Tanpa sedar, saya perasan bahawa ukhuwwah yang saya nyatakan itu ibarat fantasi kepada orang lain. Tetapi ukhuwwah seperti itu adalah realiti buat saya. Saya merasainya. Saya melaluinya. Bahkan saya ada banyak bukti di dalam kehidupan saya. Hafiz Zainol Abidin, Tengku Muhammad Fahmi, Muhaimin Misran, Abang Ali Irfan, Abang Amru Irfan dan banyak lagi. Mereka bukannya tidak wujud di dunia ini.(Itu semua sahabat Hilal. Jika anda mahukan bukti dalam hidup saya, mereka adalah Nur Nadhila, Nur Izyan Nadiah, Suziana, Nor Muslimah, Nur Amalina Alias dan beberapa orang lagi)


Persoalannya, bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu mampu dibentuk?

Adakah semata-mata dengan iman? Atau memerlukan satu ‘push’ yang lain?

Setelah lama berfikir, akhirnya saya mendapat satu jawapan.

Satu perkara yang saya lalui bersama semua sahabat saya itu yang saya lupa hendak ketengahkan. Pada saya, itulah resepi terpenting dalam membina ukhuwwah atas keimanan.

Itulah dia proses Tarbiyah Islamiyyah.


Iman yang diproses, iman yang tidak diproses

Keimanan itu hakikatnya perlu diproses untuk melahirkan keimanan yang berfungsi. Ramai manusia beriman, mempercayai kewujudan Allah SWT, mempercayai Rasulullah SAW, beriman kepada apa yang diperintahkan, dan beriman kepada apa yang dilarang. Beriman bahawa Islam adalah cara hidup yang hakiki. Beriman bahawa saudara dalam keimanan adalah ibarat saudara sendiri.

Tetapi keimanan ini memerlukan proses. Barulah keimanan itu mampu berfungsi. Barulah keimanan tadi mampu melahirkan ketaatan. Barulah keimanan tadi mampu menjauhkan diri kita daripada kemungkaran. Barulah ukhuwwah atas keimanan mampu direalitikan.

Proses itulah yang bernama Tarbiyah Islamiyyah.

Hal ini dibuktikan, dengan Rasulullah SAW menjalankan proses tarbiyah ini kepada para sahabatnya. Baginda bukan semata-mata Rasul yang membawa dakwah. Tetapi baginda juga adalah Rasul yang menjalankan tarbiyah. Ini dibuktikan apabila sesiapa yang beriman dengan baginda, akan dibawa menjalani proses tarbiyah.


Contoh proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam hal ukhuwwah.

Contoh terbesar adalah apabila Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah satu proses tarbiyah. Kebersamaan mereka, waktu-waktu mereka berkongsi susah senang bersama, waktu-waktu mereka perlu mengorbankan sebahagian harta dan kesayangan mereka untuk sahabat mereka, itu semua membina keeratan dan saling percaya mempercayai satu sama lain. Memperdalam ta’aruf dari sekadar mengenali nama kepada mengenali hati.

Itu belum dikira dengan di dalam peperangan mereka berkongsi makanan, ada satu kisah ketika para sahabat menggali parit Khandaq, ada seorang sahabat menawarkan kepada Rasulullah untuk memakan kambing kuah di rumahnya. Rasulullah mengajak seluruh 3000 orang sahabatnya berkongsi kambing kuah di dalam satu periuk.

Semestinya punya kesan yang mendalam.

Ditambah pula saat mereka bertemu lutut dan lutut ketika mengikuti majlis-majlis Rasulullah SAW, ketika mereka rapat-rapat duduk sehingga tiada sehelai daun mampu gugur ke bumi kerana rapatnya tubuh mereka saat mereka mendengar penyampaian Rasulullah SAW. Ini semua adalah tarbiyah.

Ditambah lagi dengan mereka duduk di satu tempat yang sama, saban hari berjumpa di Masjid An-Nabawi, menjalani kehidupan sebagai mukmin bersama-sama dan berjuang atas perjuangan yang sama. Berkongsi masalah dan sering saling ingat memperingati satu sama lain. Hinggakan apabila Abu Dzar Al-Ghifari bergurauan dengan Bilal bin Rabah dengan memanggilnya ‘anak hitam’, Rasulullah menegur bahawa padanya masih ada sisa jahiliyyah, Abu Dzar pantas merendahkan kepalanya ke tanah meminta Bilal memijaknya untuk membalas perbuatannya. Bilal tidak pula membalas, bahkan memaafkan.

Ini semua memperkukuhkan ukhuwwah mereka.

Menguatkan keimanan mereka.


Proses tarbiyah itulah yang diperlukan

Saya baru perasan yang saya dengan sahabat-sahabat saya tadi menjalani proses yang sama. Di MATRI, kami makan setalam, kami rapat-rapat duduk apabila ada majlis. Apabila ada perkhemahan, kami berkongsi khemah, merasai kesusahan bersama, merasai kemanisan bersama. Kami sering duduk bersama-sama menerima pengisian itu dan ini, kami sering menjalani program-program bersama di tempat itu dan ini. Kami sering bertemu, menjalani modul-modul tarbiyah itu dan ini.

Kefahaman Islam itu terbina dalam diri kami, dan daripada kefahaman Islam itulah kami memahami bahawa kami perlu saling menghargai. Aku dan dia adalah sama. Dia adalah aku. Aku adalah dia. Dia sahabat aku. Dia adalah keluarga aku. Perasaan itu muncul selepas melalui proses tadi. Proses yang bukan sebentar. Memakan masa. Tetapi melahirkan ikatan yang tiada taranya.

Proses inilah yang melahirkan ukhuwwah atas keimanan.

Melalui proses ini, keimanan itu diperkukuhkan. Menjalani proses itu bersama-sama, ukhuwwah itu muncul. Dengan keimanan yang telah diperkukuhkan tadilah, ukhuwwah itu dihargai.

Merasai bahawa sahabat itulah nyawa kita.

Menyebabkan bagaimana berbeza pun umur kami, kami tetap mampu bersama-sama.

Penutup: Hendak melahirkan ukhuwwah yang erat, proses tarbiyah adalah indikator utama

Berbeza dengan mereka yang tidak menjalani proses, ukhuwwah tidak akan mampu terbina atas keimanan yang mentah. Hal ini kerana, kepayahan yang dikongsi bersama sepanjang proses, kemanisan yang dirasai bersama sepanjang proses, adalah apa yang menyebabkan ukhuwwah itu menjadi dalam dan kukuh.

Proses ada pelbagai bentuk. Orang yang tidak mengambil proses tarbiyah islamiyyah juga mampu mempunyai hubungan yang kuat.

Tetapi saya tidak menceritakan sekadar ‘kekuatan hubungan’ semata-mata. Saya hendak menceritakan adalah ‘kekuatan hubungan yang membawa kita kepada Allah SWT dan ke Syurga’. Yang itu, hanya mereka yang menjalani proses tarbiyah Islamiyyah sahaja yang mampu menghasilkannya.

Hingga terasa seakan-akan hati ini terikat dengan mereka. Kasih dengan mereka. Sayang dengan mereka. Cinta akan mereka. Tidak rela mereka dimakan oleh jahiliyyah. Sanggup berhabis wang, berkorban masa, hatta kalau diperlukan sanggup memberikan nyawa, agar dapat bersama mereka ke syurga. Hubungan ini menjadi bukan sekadar untuk berseronok bersama, berduka bersama. Tetapi menjadi hubungan yang mengimpikan masuk syurga bersama-sama.

Hingga melihat wajah mereka sudah mendapat kekuatan. Apatah lagi bersama-sama mereka dalam beramal. Memang tiada bandingan.

Semua ini adalah dengan proses tarbiyah.

Tanyalah Hafiz, tanyalah Fahmi, tanyalah Muhaimin Misran, tanyalah Abang Ali Irfan. Sekiranya mereka membaca artikel ini, saya pasti, mereka akan mengakui apa yang saya bicarakan.(Anda juga boleh tanya sahabat-sahabat saya yang saya nyatakan tadi, Dhila, Izyan, Suzi, Muslimah, Amalina.. Ukhuwah atas keimanan lahir sebab hati diproses.)

Betul tak antum? Kita ini rapat sebab proses tarbiyah kan?

Kalau bukan sebab kita ini lalui proses tarbiyah, mustahil kita seperti hari ini bukan?

Semoga perkongsian ini bermakna buat semua.



nusrah walfath: Sebenarnya, saya bisa sahaja tulis dalam ayat sendiri tapi saya mehu melihat bagaimana respon anda dengan penulisan Hilal ini. Dan sekarang saya sudah dapat melihat hikmahnya bila saya dapat sesuatu yang saya tak suka. Saya akan belajar menjadi D&T yang terbaik untuk jangka masa setahun ini. InsyaAllah ;-)

“tarbiyah bukan segalanya, tapi segalanya mampu, andai ada tarbiyah”



..Selimut untuk Anda..

Entri kali ni cukup mudah. Saya mahu menjual. Konon nak berbisnes lah ni. Yang pasti, bukan saya punyalah bisnes ni sebab saya tak minat langsung. Kalau saya minat, dah lama saya amik BBA, paling tak pun, zaman diploma dulu saya amik je DBA tapi saya tak minat yea sebab tu tak amik. Saya rela pilih medic daripada kos bisnes (punyalah nak menggambarkan tahap tak minat bisnes tu).

Ok, untuk tidak membazirkan masa, saya terus sahaja kepada sesi jualan saya kali ni. Barang yang nak dijual adalah selimut. Yea, SELIMUT. Kawan-kawan semua boleh lah tengok gambar di bawah ni.. Tapi hati-hati sebab kadang-kadang ada juga selimut yang tak cantik dalam gambar tapi kalau tengok depan-depan, punyalah cantik selimut tu. Mungkin sebab selimut tu tak fotogenik. Jadi, fikir betul-betul dulu sebelum nak memilih. Kalau nak datang tengok sendiri pun boleh juga. ;-)
SELIMUT CANTEK & SELESA

selimut " 2 in 1" (kain cotton)

~kegunaan:

1. selimut
2. boleh jadi toto (tapi tak tebal)
~ boleh guna depan belakang
~ sgt selesa
~ ringan
~ senang basuh ( washing machine + tangan)

~~~ di datangkan bersama beg...















berminat???

mari-mari.. dapatkan dengan harga : RM 35 SAHAJA (X TERMASUK POS)

Cara nak order?? Boleh inform saja saya sama ada melalui blog, facebook ataupun terus sms saya. Boleh lah inform kod yang anda berkenan yea. Selamat memilih dan membuat pilihan yang tepat. Terima kasih ;-)



..Saya Tetap nak Ke Syurga Bersamanya..

"Untuk mempunyai seorang sahabat sahaja sepanjang hayat adalah lebih daripada mencukupi, dua orang adalah terlalu banyak, tiga orang adalah sesuatu yang jarang sekali berlaku"



Entri pertama di bulan Januari. Ahh..sungguh! Saya tetiba sahaja rindukan kenangan ngan Dhila. Sangat rindu! Anggap saja entri kali ni sambungan dari entri saya nak ke syurga bersamanya. Its everything about my girlfriend! my Sweetheart! ;'(


Selesai Convest semester lepas, saya dah tak jumpa dia sehinggalah saya demam berminggu. Rindu kat Dhila agaknya..Heee... Kemudian, terserempak ngan Dhila kat kafe HS masa hari exam. Gembiranya rasa waktu tu. Sangatlah gembira! Sukar rasanya nak gambarkan rasa seronok saya hari tu..


Kemudian lepas exam, terus tak jumpa dah. Dhila pun habis exam awal, so, memang langsung tak sempat jumpa dia. Kami memang kawan baik. Tapi Mahallah tak sama, Kuliyyah tak sama..Memang susah sangat nak jumpa. Sadis je bunyinya.


Hinggalah saya jadi AHC PC untuk program AN. Terus sahaja saya ajak Dhila jadi sub-com saya. Itulah kali pertama jumpa Dhila untuk semester ni. Sekali jumpa, memang banyak sangat benda nak bercerita. Setiap kali meeting, asyik bersembang sahaja. Sampai kena tegur ngan Head com saya. Waktu tu saya memang tak peduli apa sebab dah lebih sebulan rasanya saya tak jumpa Dhila. Rindu sangat ok..


Kiranya setiap kali meeting tu lah saya dapat jumpa Dhila. Kalau tak, memang tak langsung lah. Yang best, ada satu hari tu Dhila call saya, bila angkat fon, terus je dengar suara dia, "Hai sayang!"~ Bahagia je rasa time tu. Buah hati yang call kan.. Haha!



Kekadang rindu kenangan time convest dulu. Rindu nak naik ofis jumpa Dhila walaupun kekadang dibuli untuk membantu diorang wat kerja. Taufiq, Dhila, yang suka 'buli' saya. Syazwan pun tak kurang juga. Haha!! Tahun 2011 ni, Dhila sangat excited sebab umur bakal masuk 20. Means that, dia dah jadi dewasa. Tapi saya masih remaja yea, Dhila ;p


Apa-apa pun saya memang seronok berkawan ngan Dhila. Sangat seronok! Dia tu memang baik yang amat. Sejuk perut mama Dhila mengandungkan Dhila dulu..heeeheeee... Sesuatu yang ada padanya tapi takde pada orang lain. Itulah Dhila! Dia sangat berbeza.


Buat Dhila sayang, teruskan menjadi sahabat yang baik yea. Antara kita cuma ada Allah. Jika ada yang dengki khianat dengan kita, takkan ada apa yang boleh rosakkan persahabatan kita sebab ia terbina atas dasar keimanan. Kan sayang? :)


Dan masih macam dulu, saya nak ke syurga bersamanya. Bersahabat bukan untuk suka-suka tetapi bermakna. Bila kita ada arah tujuan dalam bersahabat, insyaAllah ianya tidak akan merosakkan kita. Tidak sesekali! Bahkan ia akan memberi manfaat dan impak yang besar dalam hidup kita.


Semoga Allah redha dengan kita.



Saya sentiasa ingatkan diri bahawa saya nak ke syurga bersamanya. Jika dia buat silap, saya tidak patut biarkan dia tersesat. Dan begitu juga jika sebaliknya. Saya masih ingat lagi kenangan semester lepas waktu pergi Forum Muslim Stepforward. Pesan Imam Muda dalam tu, "berkawanlah dengan orang soleh". Kemudian saya pandang Dhila, saya tanya dia, "awak soleh ke tak?" Sebenarnya saya tak perlukan pun jawapan daripada Dhila. Saya sudah kenal dia. Kalau dia tidak soleh, tidak wajar rasanya saya tinggalkan dia. Bukankah saya sudah katakan, saya nak ke syurga bersamanya!


Tetapi kalau saya nak ke syurga dengan dia, tidak cukup jika saya hanya zahirkan dengan mulut. Ia perlu seiring dengan usaha. Semoga dipermudahkan semuanya dan diredhai Ilahi. Ameeennnn.


Saya masih dan tetap ingin ke syurga dengan dia.


Saya masih dan tetap akan bersahabat dengan dia.


Antara kami hanya ada Allah.


Nusrah loves Dhila.


“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.” ~ Saidina Umar Al-Khattab



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...