إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجا

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَتَوَّاب

(An-Nasr: 1-3)

Followers

Menyembur api ke langit?


Saya pernah meletakkan tajuk ini di dalam status Yahoo Messenger saya. Kenapa? Sebab waktu itu saya dalam keadaan yang pelik. Keadaan yang saya sendiri tidak faham. Satu keadaan yang apabila semua benda tidak kena. Satu keadaan yang semua perasaan bercampur baur. Satu keadaan yang ada dalamnya rindu, datang juga benci, ada juga marah, singgah juga cinta, menjengah juga sakit, tersembul juga pening. Semuanya bergaul menyebabkan hari-hari yang berlalu rasa terbazir. Ketika itu saya tidak mampu menulis berhari-hari.

Apa yang saya buat hanyalah menjelajah ke blog orang lain, tengok cerita, bersembang dengan teman-teman dan berfikir. Namun saya tidak jumpa titik kembali. Saya masih boleh ketawa, tetapi hati saya kosong. Saya sedih tetapi tidak boleh menangis. Saya sunyi, saya tidak boleh keluar daripada kesunyian walau ada orang di sisi, walaupun saya tahu Allah sentiasa lebih dekat daripada urat nadi. Saya tidak bersemangat, walaupun berusaha membakar kekuatan. Saya diserang cinta, tetapi tidak pergi walau cuba menyisih. Saya didatangi rindu yang berlebihan, tidak meminggir juga walaupun cuba merengkuhnya. Saya seakan-akan jatuh di tempat gelap. Akhirnya saya menulis,

 "Saya ada di dalam gelap. Kalau saya ada di dalam gelap, adakah awak hendak menarik saya?"

 Malangnya tiada sesiapa yang datang menarik tangan saya. Saya pun tidaklah pernah mengharapkan mana-mana manusia untuk menarik tangan saya. Sebab saya tahu, saya memang sendiri. Yang ada dengan saya sentiasa, yang tidak pernah jemu mendengar saya bercakap, yang sentiasa ambil berat dengan saya, yang sentiasa tenang mendengar aduan saya sepanjang saya hidup ini hanyalah Allah sahaja. Allah sahaja yang baik, yang senang, yang kasih, yang mengambil berat, yang layan saya, yang tidak pernah mengejek saya, yang sering memberikan teguran dan sering pula mengangkat saya semula apabila saya jatuh.

 Menyembur api ke langit. Kenapa saya tulis begitu? Saya tulis ayat itu sebab saya pernah hendak mencuba teknik menjerit ke langit untuk melepaskan tekanan. Saya sudah tidak tahan dengan rasa yang bercelaru yang tiba itu. Namun, dalam fikiran saya, kalau saya menjerit untuk melepaskan masalah saya, tidakkah sebenarnya saya sedang menjerit kepada Allah? Bukankah Allah yang sedang memberikan saya ujian untuk melihat sejauh mana benarnya iman saya? Bukankah Allah itu telah berjanji kepada saya, bahawa segala ujian yang Dia berikan adalah di dalam ruang kekuatan manusia itu sendiri? Akhirnya, kalau saya menjerit melepaskan segala ketidakpuasan hati saya, bukankah saya sedang menunjukkan benci saya kepada Allah yang memberikan saya kesusahan ketika itu?

 Hah... sebab itulah ayat "menyembur api ke langit?" muncul. Mengingatkan saya, berbuat sebegitu rupa bukanlah akhlaq seorang muslim. Seorang Muslim dia tenang. Allah tempat dia mengadu. Allah itu lebih dekat daripada urat nadinya. Kenapa seorang Muslim yang yakin akan kebergantungan kepada Allah hendak menjerit-jerit melepaskan tekanannya? Adakah Allah itu jauh? Saya masih ingat lagi ketika saya membaca satu sirah, ketika Perang Khaibar, sahabat-sahabat telah berdoa dengan kuat. Kemudian, Rasulullah s.a.w menegur, "rendahkan suara kamu sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar segala permintaan kamu.."

Akhirnya, solat, zikir, al-Quran, muhasabah menjadi tempat saya untuk kembali meraih kekuatan dan kewarasan. Menyembur api ke langit sebenarnya ayat yang agak kurang ajar. Hendak membakar Allah kerana ketidakpuasan hati dengan segala masalah dan ujian yang mendatang? Allah swt ada api yang lebih hebat untuk membakar saya. Akhirnya saya insaf. Mujur sahaja saya terfikir akan ayat itu. Ayat itu menyedarkan saya. Allah jugalah yang memberi ilham.

Memang...
Dalam hidup ini ada banyak benda yang akan membuatkan kita resah. Memang ada manusia yang kita baik kepada dia tapi dia tidak baik kepada kita. Kita menjaga akhlaq kita dengannya, dia mengasari kita. Ada pula manusia, kita menjaga hubungan baik dengannya, tetapi hanya kerana dia salah mentafsir kata-kata kita, dia terus membenci kita. Ada pula manusia, kita sayang dia tetapi dia tidak pernah pun menyayangi kita, bahkan dia mencaci kita. Ada juga manusia, kita rindu kepadanya, tetapi dia langsung tidak merindui kita, dan menganggap pula kita ini sebagai penyibuk kehidupannya. Ada juga manusia yang kita cinta kepadanya tetapi dia tidak tahu pun kita mencintainya.

Ada juga manusia, kita memang betul-betul memerlukan dia untuk memberi perhatian kepada kita, tetapi mereka langsung tidak mengendahkan kita. Ada juga sahabat yang sudah lama bersama, lama kenal tetapi masih lagi tidak memahami kita, walaupun kita amat memahami dia. Ada juga adik-adik yang kita amat sayang mereka, amat menjaga mereka, tetapi mereka langsung tidak menjaga kita. Apabila memikirkan semua itu, saya kadangkala merasakan, apakah apabila kita menundukkan sedikit kepala kita, maka orang akan memijak kepala kita? Sebab itulah akhirnya saya berada dalam keadaan tidak stabil, hilang semangat, hilang pula hala tuju, terperangkap dalam perasaan yang berkecamuk.

Tetapi menyembur api ke langit.... membuatkan saya terjaga daripada semua itu. Bukan masalah mereka membalas segala kebaikan saya, masalahnya ialah saya yang memberikan kebaikan kepada mereka. Kenapa saya buat itu buat ini? Untuk mereka? Akhirnya saya nampak, saya geleng kepala. Saya sayang mereka, rindu mereka, jaga mereka, cinta mereka, faham mereka, bukan kerana mereka tetapi kerana Allah. Jika mereka tidak menghiraukan saya, dan langsung tidak menjaga saya, itu masalah mereka dengan Allah sebenarnya. Bukan dengan saya.

Ah, lega!
Mujur saya tidak melakukan perkara yang bodoh. Manusia itu memang lemah. Sebentar di atas, sebentar di bawah. Manusia yang bijak adalah apabila dia berada di bawah, dia akan berfikir dan berusaha sekuat mungkin agar dia segera kembali berada di atas. Allah jugalah sebaik-baik teman.

 "Cukuplah untuk kami Allah sebagai wakil"

 Hanya resolusi daripada Allah, yang boleh memberi solusi kepada masalah hamba.


Kembara Hamba Mencari Cahaya ^^,

 ********************************

Saya selesai membaca Langit Ilahi 2 pada seminggu yang lalu. Alhamdulillah. Saya sudah punya secebis motivasi dan pemujuk semangat yang baru. Jauh di sudut hati, semoga hati saya tetap tabah melalui dugaan. Saya takkan pernah jemu untuk bangun walaupun saya akan jatuh berkali-kali. Teringat kata-kata seorang teman, "Nusrah ni sangat kuat dan tabah. I'm so proud. Macam hairan tengok Nusrah tenang dan kuat setiap masa"

Saya senyum.

Allah, terima kasih kerana beri kekuatan itu kepada saya. Bila saya ada Allah, kalau seisi dunia membenci saya pun tak apa. Kalau seisi dunia meninggalkan saya pun tak apa asal saya masih punya Allah.

Allah is everything to me! ^^,



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...