Malam hari. Sepi. Sunyi. Semua sedang study. Sedang otak ligat, berehat sebentar menjenguk facebook. Agak-agak apa isu hangat selain tragedi 1-1-12 tu. Ternampak beberapa link yang sahabat saya kongsikan. Terbaca tajuk tapi tak sempat nak klik jenguk sebab masa tak mengizinkan. Malam ni menjenguk lagi. Tergerak hati nak tengok. Terus laju sahaja google artikel yang berkaitan. Oh isu ini? Senyum.
Nur Amalina Che Bakri.
Dulu saya sendiri kagum dengan dia. Budak pandai, bijak, sekolah biasa, hanya bersama emak di sisi, masih mampu melakar sejarah dengan kejayaannya yang tersendiri. Ingin sahaja berjaya seperti dia. Berusaha yang termampu selebihnya berserah kepada Allah s.w.t.
Hari ini gempar lagi kisah mengenai Nur Amalina. Nama yang cukup indah. Rupa yang cukup cantik. Sayang seribu sekali sayang melihat gambar-gambar terbarunya. Anda sedih? Mungkin ada manusia yang lebih sedih dari itu. Anda marah? Mungkin ada yang manusia yang lebih marah daripada itu. Anda mungkin terlupa bahawa Nur Amalina masih punya keluarga.
Saya sebenarnya terkilan. Bukan terkilan dengan Nur Amalina tetapi saya terkilan dengan manusia. Saya terkilan dengan anda semua. Masing-masing sibuk melontarkan hujah, memburukkan dia, menghina dan mengeji juga ada. Sudahlah menghina dan mengeji, dalam masa yang sama membezakan Nur Amalina dengan gadis-gadis muslimat yang juga berjaya melakar kejayaan.
Saya bukan menyokong tindakan Nur Amalina. Namun begitu, saya juga tidak menyokong kalian mengeji dia. Tidak dan tidak. Suatu hakikat yang anda semua di luar sana patut sedar. Nur Amalina, Nik Nur Madihah atau fatimah atau sesiapa lagi yang berjaya adalah lahir dalam latar belakang yang berbeza. Meraka punya didikan yang tidak sama. Mengapa perlu kita membeza-bezakan mereka? Mengapa perlu kita menyalahkan sekolah mereka? Mengapa perlu kita menyalahkan tempat belajar mereka sekarang? Tanya diri mengapa dan mengapa.
Tidak semua pelajar sekolah biasa akan berubah jadi jahat bila pergi luar negara. Tidak semua juga pelajar sekolah agama atau Maahad yang senantiasa kekal baik di Malaysia, apatah lagi di luar negara sana. Kita berbangga pelajar dari sekolah agama masih baik dan tetap baik sedangkan pada masa yang sama berlambak-lambak juga di kalangan mereka ini sudah tidak kekal istiqamah. Kita membenci pelajar sekolah biasa yang menjadi jahil sedangkan ramai juga di kalangan mereka yang berjaya dengan keadaan iman masih di dada.
Bila suci tak dijaga, bila kotor dihina-hina.
Kita ini tidak sayangkan sahabat kita. Kita ini tidak pernah jaga sahabat kita. Kita ini hanya tahu membenci mereka bila mereka berubah arah. Kita ini hanya nak baik sorang-sorang sahaja. Nak masuk syurga sorang-sorang? Nak campak kawan ke neraka? Begitu? Dimana silapnya kita? Kita berusaha menjadi baik sedaya upaya tetapi kita langsung tak pernah nak ajak kawan kita bergerak ke arah kebaikan. Sedang dia masih baik, kita langsung tak jaga dia. Bila dia berubah, kita menghina-hina dia. Salah siapa sebenarnya?
Sebab itu kita tak boleh nak letakkan kesalahan pada Nur Amalina bulat-bulat. Anda muslimin muslimat di luar sana sedar atau tak bahawa anda sebenarnya punya tanggungjawab yang besar? Maaf jika saya sebut ni. Rata-rata pelajar yang berkopiah, yang bertudung labuh selalu mengelakkan diri daripada berkawan dengan mereka-mereka yang biasa-biasa ini. Kononnya takut terjebak, takut terpengaruh. Saya mahu tanya, jahat sangat ke mereka? Kalau bukan kalian yang menarik tangan mereka ke arah kebaikan, siapa lagi? Syurga itu bukan tempat untuk kita duduk sorang-sorang. Taknak ke masuk syurga ramai-ramai?
Sebab tu saya cakap, kita ini waktu mereka baik, tak pula kita nak jaga tapi bila dah kotor, kita mengejinya. Saya malu. Malu dengan tindakan kita semua. Mengaku baik sedangkan hubungan sesama manusia pun sudah tidak dijaga. Tidak ada salahnya kita bangga dengan Nik Nur Madihah dan yang lain. Cuma alangkah indahnya kalau mereka ini mampu bersahabat dengan mereka-mereka yang kurang didikan agama dan bersama bergerak dalam jalan dakwah.
Wahai muslimin muslimat, kalian ini cukup beruntung. Dilahirkan dalam keadaan yang baik, tarbiyah yang sempurna. Oleh itu, apa kata bermula dari sekarang, luaskan skop persahabatan. Jangan berkawan dengan mereka yang dah sedia baik sahaja tapi dekatkan diri dengan mereka yang tidak terdidik atau kurang terdidik dengan agama. Boleh jadi, mereka ni sedang mencari cahaya tetapi tidak tahu arah. Justeru, mari kita bergerak ke arah mereka.
Jangan sibuk berbangga dengan diri yang sudah baik. Jangan sibuk berbangga dengan tarbiyah Islam sejak dari kecil kerana Allah masih belum menguji kita sepertimana mereka. Jangan hari ini kita sibuk mencaci mereka, esok lusa kita pula dibenci dan dicaci. Iman itu sangat tipis. Sesiapa sahaja boleh tergelincir. Pesan pada diri, "aku mahu ke syurga.tapi bukan berseorangan"
Berhenti mencaci dan mengeji
Berhenti berbangga diri
hadiahkan doa buatnya
hadiahkan doa buat semua
Peringatan untuk diri sendiri juga.
Andai diri ini tersadung di lembah ujian,
Tariklah diri ini ke arah Yang Maha Esa,
Andai diri ini rebah di lubang derita,
Angkatlah diri ini ke syurga bersama.
Maaf terkasar bahasa. Semoga kita belajar dari kisah-kisah terdahulu. Manjadi pengajaran buat diri, teladan buat hati. Semoga ada manfaatnya dengan izin-Nya. :)
Doa dari jauh seikhlas hati
~bersama menuju redha-Nya. Syurga itu indah~



No comments:
Post a Comment