Waktu Asar.
Tutup buku. Simpan pen. Kemas notes.
Basuh baju, mandi, solat, ma’thurat dan rehat.
Rasa macam nak pergi jogging tapi takde sape nak teman. Jadi dok diam-diam je kat bilik. Penat menghadap nota-nota Fiqh dari pagi. Bukak lappy. Rasa macam nak menulis. Facebook? Sejak semalam tak jenguk langsung. Malas. Takde apa nak di update. Cuma mungkin nak contact classmates.
Allah tak izin saya menangis
Banyak perkara kadang-kadang buat kita rasa macam letih. Bila letih jadi penat yang amat. Bila penat, mudah pula tersinggung dan menangis. Itu lumrah. Seorang manusia yang bernama wanita. Oh kalau anda bukan begitu mungkin saya sorang saja lah kot. Seminggu dua ni selalu sahaja Allah ‘hadiahkan’ saya rasa kecewa. Pada mulanya rasa macam nak terduduk dan menangis. Lebih teruk lagi bila asyik bertanya kenapa dan kenapa. Pernah sekali saya cakap dengan Allah, saya penat. Saya rasa saya tak kuat. Letih simpan rasa sedih sorang-sorang. Tapi setiap kali mengadu dan merintih begitu, teringat kembali dengan ayat-Nya. Dia takkan menguji seorang hamba lebih dari kemampuannya. Ok, saya mampu hadapinya. Saya janji saya kuat.
Sedar tak sedar dari rasa kecewa itu, ia mengajar saya menjadi sangat kuat. Ia mengajar saya tentang erti prinsip hidup. Bagaimana kita perlu berdiri dengan kaki sendiri dan jangan bergantung harap pada orang. Ia mengajar saya supaya keras dengan pegangan diri. Ia mengajar saya untuk tidak meraih simpati. Ia banyak mengajar saya. Dari hari ke hari, dari masa ke masa, dari minit ke minit, dari saat ke saat, saya sedar bahawa Allah tak izin saya menangis untuk hal-hal sebegitu. Kadang-kadang langsung tidak sempat airmata nak jatuh. InsyaAllah mata yang menangis kerana Allah tidak akan ke neraka. Ameeen.
Saya dah pandai pujuk diri sendiri
Saya ni selalu dengar masalah orang, selalu pujuk orang tapi bila saya ada masalah, saya pasti gagal pujuk diri saya. Dulu, semestinya saya akan menangis. Rapuhnya hati suatu masa dahulu. Sekarang tidak lagi. mungkin sebab banyak perkara yang kita belajar dan menjadikan kita kuat. Semakin banyak pengalaman yang kita ada, semakin kita tahu macam mana nak deal ngan perkara sebegitu. Alhamdulillah sehari dua ni saya sedar yang saya dah makin pandai pujuk diri sendiri. Tak perlu nak susahkan sesiapa pun. Allah kan ada. =)
Ramadhan yang berlalu pergi
Saya rindu dengan Ramadhan lepas. Ramadhan yang membawa seribu satu erti. Ramadhan yang merubah hidup saya. Banyak. Terlalu banyak yang berubah. Saya rindu saat-saat dulu. Sepanjang masa, saya gunakan sebaiknya untuk membina gunung iman yang makin roboh. Setiap masa berdoa semoga Allah kuatkan hati saya menghadapi ujian di dunia. Pastinya sukar. Hati saya sudah menduga. Ambil masa sucikan hati, kosongkan hati, berjihad dengan hati. Saya melalui saat-saat yang sangat sukar pada masa tu. Jujur, sangat sukar.
Allah menjadi tempat bergantung. Al-Quran menjadi teman akrab. Dalam menghadapi rasa sukar, hati saya bimbang dengan apa yang bakal saya hadapi. Bimbang dengan godaan dunia. Bimbang iman tidak kuat. Bimbang dan bimbang. Sangat bimbang. Namun syukur, segalanya okay. Penerimaan yang baik oleh ramai pihak. Tapi di situ saya sedar, Allah akan menguji saya juga tiba masanya nanti dan ia betul-betul terjadi.
Saya perlukan lebih masa menjahit iman
Sehari dua ni saya perasan iman saya makin kendur. Allahurabbi..risaunya hati. Betul kata orang, iman itu sangat tipis. Kalau kita tak jaga betul-betul, hancurlah hidup. Kalau ingin bercakap dengan Allah, solatlah kamu dan kalau ingin Allah bercakap denganmu, bacalah Quran. Saya, kalau lepas solat, mesti rasa taknak bangun dari sejadah. Waktu tu rasa itu sahaja peluang saya ada. Bimbang nanti dah tak berpeluang nak sujud lagi. lebih-lebih lagi sebelum tidur. Bagaimana kalau esok dah tak bangun-bangun dah? Selalu juga saya tanya pada diri.
Bacalah Al-Quran dan baca maksudnya sekali. Lecturer saya pernah pesan dulu, “al-quran ni kalau awak faham maksudnya, awak akan menangis bila membacanya.” Dan kata-kata ustaz saya tu betul. Memang betul. Hari-hari check buku amal. Kurangnya amal bermakna iman dah makin kurang juga. Hidup kat dunia ni kena selalu ada sahabat yang ingatkan kita akan kematian. Kena ada sahabat yang selalu tegur dengan segala kelekaan kita. Kadang-kadang kita mungkin tak sedar dengan dosa kita. Dan saya rasa saya perlukan lebih masa untuk menjahit kembali iman saya. Muhasabah kembali diri sendiri. Rupanya masih banyak lagi nak kena betulkan. Saya banyak buat silap lagi rupanya. Takpe, saya manusia biasa. Allah kan akan menerima taubat hamba-Nya. Jadi, jangan sesekali berputus harapan dari rahmat Allah. Senyum.
Saya cuma manusia biasa.
Saya bukan orang baik. Saya tak baik. Saya sedar tu. Saya manusia biasa yang setiap hari mengejar cinta Allah. Saya takut jauh dengan Allah. Saya bimbang. Saya hanya orang biasa yang masih mencari secebis sinar. Yang masih mencari hidayah dari-Nya. Yang masih perlukan Allah sebagai tempat bergantung. Saya bukan macam mereka-mereka yang lahir dari sekolah agama, berilmu agama yang banyak. Saya bukan macam mereka. Bukan macam awak. Saya adalah saya.
Saya masih berusaha memperbaiki diri. Saya tak nak peduli apa orang fikir tentang saya. Saya taknak peduli andai ada yang membenci saya. Asalkan Allah masih lagi sayang saya, masih lagi jaga saya dan masih lagi bersama saya. Saya perlukan cinta Allah supaya saya tak rasa sunyi supaya saya tak rebah bila di uji dengan dugaan. Namun, saya masih perlukan rakan sekeliling untuk membantu saya ke arah-Nya.
Jangan sedih. Jangan putus harapan.
Andaikata kalian terasa seperti dosa menggunung sedang kalian pikul, baliklah ke pangkal jalan. Jangan rasa tersisih, jangan rasa susah kerana Islam tidak menyisihkan jua tidak menyusahkan. Rahmat Allah itu luas. Jangan kita sempitkannya. Sesekali menangis itu tidak salah. Langsung tidak salah. Namun, biarlah airmata itu adalah airmata penyesalan. Bertaubat dan jangan ulangi dosa-dosa lalu. Allah itu Maha Penerima Taubat. Jangan gundah, jangan kalah dengan dunia. Anda masih punya rahmat Allah yang luas. Sentiasa ingatkan diri.
Suatu masa, saya mungkin rebah. Suatu masa saya mungkin goyah. Saat itu, jangan tinggalkan saya dalam dosa dan noda. Tariklah saya bersama ke pangkal jalan. Bawalah saya bersama di jalan dakwahmu, bantulah saya bersama ke syurga-Nya. Sungguh, saya berharap pada kalian, sahabatku. ;’)
~Don't cry. Don't be sad~




No comments:
Post a Comment